SHAH ALAM - Selepas beberapa siri pertikaian terbuka, Datuk Seri Rafizi Ramli kini mengambil langkah drastik apabila mengarahkan pasukan peguamnya untuk memulakan proses saman terhadap Datuk Seri R Ramanan susulan pelbagai dakwaan yang dilemparkan terhadapnya dalam sidang media pada Khamis.
Rafizi berkata, keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan pasukan peguamnya yang berpandangan terdapat asas kukuh untuk memulakan tindakan berkenaan terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.
Malah menurut bekas Menteri Ekonomi itu, kenyataan Ramanan dalam sidang media berkenaan didakwa melanggar garis yang ditetapkan oleh undang-undang fitnah di negara ini.
"Dalam sidang media semalam, Ramanan membuat pelbagai tohmahan terhadap saya, termasuk menuduh saya terlibat dalam rasuah.
"Tindakan ini juga tepat memandangkan Ramanan terus mengelak daripada menjawab beberapa tuduhan mengenai beliau dan rasuah," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Dalam perkembangan berkaitan, Rafizi turut mencadangkan supaya ahli Parlimen merujuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen ekoran membuat kenyataan tidak benar di Parlimen.
Rafizi mendakwa sidang media Ramanan itu mengesahkan bahawa kenyataan Presiden PKR di Dewan Rakyat berhubung tindakan undang-undang Ramanan, adalah tidak benar.
"Sidang media itu mengesahkan bahawa Ramanan tidak pernah mengambil tindakan mahkamah berhubung kenyataan saya yang menamakan beliau sebagai Ahli Parlimen PKR yang mengambil suapan RM9.5 juta untuk menyelesaikan kes mafia korporat.
"Ramanan juga mengulangi bahawa beliau tidak akan mengambil tindakan undang-undang mengenai kenyataan itu, berbeza dengan cabaran beliau untuk menyaman sesiapa yang mengaitkan beliau, seperti di dalam satu sidang media terdahulu.
"Sidang media itu mengesahkan bahawa kenyataan Anwar di Parlimen minggu ini, kononnya Ramanan telah mengambil tindakan mahkamah, adalah tidak benar," jelasnya.
Sementara itu Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan turut menegaskan, tindakan saman terhadap Ramanan wajar diteruskan kerana menurutnya, menteri berkenaan masih belum menjawab beberapa dakwaan rasuah yang dibangkitkan terhadap beliau.
"Jika Ramanan enggan mengambil tindakan saman terhadap saya, akibat dari sidang media beliau semalam, ia membuka jalan untuk saya mengheret beliau ke mahkamah susulan tohmahan yang dibuat," ujarnya.