RoS rayu keputusan gantung pembatalan pendaftaran PN

Iklan
Mahkamah Tinggi pada Khamis membenarkan permohonan PN untuk menggantung pelaksanaan notis pembatalan pendaftaran gabungan itu sehingga prosiding substantif semakan kehakiman didengar.

PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan di sini pada Jumaat terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menggantung pelaksanaan notis pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN).

Rayuan itu difailkan oleh Ketua Pengarah RoS, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, selepas tidak berpuas hati dengan keputusan dibuat Hakim, Datuk Azizan Md Arshad yang membenarkan permohonan penggantungan pada Khamis.

Iklan
Iklan

Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili PN, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Sinar Harian.

Pada Khamis, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan PN untuk menggantung pelaksanaan notis pembatalan pendaftaran gabungan itu sehingga prosiding substantif semakan kehakiman didengar.

Iklan

Azizan membuat keputusan tersebut selepas berpendapat terdapat kemudaratan lebih besar kepada PN sekiranya permohonan penggantungan pelaksanaan tidak dibenarkan.

Sebelum itu, RoS pada 20 Oktober lalu membatalkan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan dan representasi yang dikemukakan gabungan berkenaan tidak dapat menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.

Iklan

Pada 22 September lalu, RoS mengeluarkan notis kepada PN sebelum perintah penggantungan semua aktiviti gabungan itu berkuat kuasa pada 23 September di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966.

Susulan tindakan itu, lima pemimpin parti komponen PN yang diketuai Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan berkenaan.

Empat pemohon lain ialah Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Wong Chia Zhen; Setiausaha Agung Malaysian Indian People's Party, N Sathes Kumar; Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Setiausaha Agung Parti Pejuang Tanahair, Datuk Sazmi Miah.

PN mendakwa tindakan RoS boleh menjejaskan penyertaan gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, khususnya peluang calon bertanding menggunakan nama dan logo PN.

Gabungan itu turut menyatakan bahawa sebarang keputusan mahkamah selepas hari penamaan calon akan menyebabkan peluang berkenaan tidak dapat dikembalikan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal berlangsung pada 10 November dan hari mengundi pada 14 November bagi PRN Melaka.