Nahas 4 maut: 'Jangan biarkan cuti bertukar duka' - Aiman Athirah

Iklan
Empat individu maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer (KM) 110.4 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), arah Lanchang menghala Kuantan pada Isnin. Foto Bomba

SHAH ALAM - Nahas maut membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.4 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dekat Temerloh, Pahang pada Isnin, menjadi peringatan serius terhadap tahap keselamatan jalan raya negara.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, statistik kemalangan harian oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan jumlah kemalangan jalan raya negara masih berada pada angka membimbangkan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, sebanyak 1,787 kes kemalangan direkodkan dengan 11 kematian dilaporkan pada 27 Ogos lalu.

"Lebih-lebih lagi ketika musim cuti, apabila jumlah kenderaan meningkat dan ramai rakyat bergerak untuk pulang ke kampung, bercuti atau bertemu keluarga," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Iklan

Terdahulu, nahas kira-kira jam 10 malam itu meragut nyawa empat individu termasuk tiga sekeluarga manakala empat lagi cedera.

Kemalangan itu membabitkan sebuah lori tangki, sebuah bas, kereta (empat), kenderaan utiliti sukan (tiga), sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah pikap.

Iklan

Aiman Athirah berkata, insiden itu turut menjadi peringatan bahawa setiap perjalanan membawa amanah nyawa dan memerlukan disiplin, kesabaran serta tanggungjawab bersama.

"Jalan raya bukan sekadar laluan untuk sampai ke destinasi, tetapi ruang yang memerlukan disiplin, kesabaran dan tanggungjawab bersama.

"Saya meminta semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati, mematuhi had laju, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta tidak memandu ketika letih atau mengantuk," katanya lagi.

Pada masa sama, beliau merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa, khususnya waris empat individu yang disahkan meninggal dunia dalam kemalangan berkenaan.

"Buat ahli keluarga yang sedang berduka, semoga dikurniakan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.

"Saya turut mendoakan agar mangsa yang cedera diberikan kesembuhan segera serta semua yang terlibat dipermudahkan segala urusan," ujarnya.

Ahli Parlimen Sepang itu turut menghargai tindakan pantas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), PDRM serta semua pihak yang terlibat dalam operasi menyelamat.