Yadim kecam pembakaran masjid, al-Quran di Nepal

Iklan
Yadim menggesa pihak berkuasa Nepal menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan adil serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang terbukti terlibat.

PUTRAJAYA - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) mengecam sekeras-kerasnya tindakan merosakkan dan membakar sebuah masjid di Golbazar, Siraha, Nepal susulan ketegangan antara komuniti, baru-baru ini.

Yang Dipertua Yadim, Datuk Dr Hasan Bahrom berkata, kejadian yang turut memusnahkan naskhah al-Quran serta bahan hadis itu bercanggah dengan nilai kemanusiaan, keamanan dan keharmonian.

Iklan
Iklan

Hasan berkata, kebebasan beragama tidak boleh dijadikan alasan untuk menghina atau merosakkan agama serta rumah ibadat mana-mana pihak.

Beliau berkata, sebarang perbezaan dan ketegangan antara komuniti perlu diselesaikan menerusi dialog serta saluran undang-undang, bukannya melalui provokasi, keganasan atau tindakan membalas dendam atas nama agama.

Iklan

Sehubungan dengan itu, Yadim menggesa pihak berkuasa Nepal menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan adil serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang terbukti terlibat.

Dalam pada itu, Hasan mengingatkan masyarakat supaya tidak mencela atau meraikan penderitaan mangsa banjir yang melanda Nepal.

Iklan

Sebaliknya, Hasan berkata, nilai rahmah, ihsan dan kemanusiaan perlu diterjemahkan menerusi doa serta bantuan kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira agama dan latar belakang.

Katanya, pendirian itu selari dengan semangat Malaysia Madani dan Madani Membantu di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan yang mengangkat nilai ihsan, kemanusiaan dan rahmah dalam kehidupan bermasyarakat dan hubungan antarabangsa.

Beliau berkata Yadim turut mendoakan supaya keamanan kembali pulih di Nepal serta semua mangsa dan masyarakat terjejas diberi perlindungan, kekuatan dan pertolongan. - Bernama