Terus melangkah, Syuhainie buktikan cabaran bukan penghalang

Iklan
Syuhainie (dua, kiri) bersama rakan-rakan pemandu Grab dan pemimpin wanita pelbagai latar belakang dan bangsa bakal turut memeriahkan sambutan kemerdekaan untuk tahun ini.

PORT DICKSON – Bagi Syuhainie Shaharuddin, kemerdekaan bukan sekadar tentang berdiri di tengah lautan manusia yang mengibarkan Jalur Gemilang atau menyertai perarakan pada tanggal 31 Ogos.

Sebaliknya, kemerdekaan membawa makna yang lebih dekat dengan kehidupan seorang wanita – kebebasan untuk membina kerjaya, berdikari dan menentukan masa depan dengan usaha sendiri.

Iklan
Iklan

Itulah yang sedang diusahakan wanita berusia 37 tahun dari Port Dickson itu.

Daripada pernah bekerja sebagai operator kilang, Syuhainie kini membina sumber pendapatan sendiri dengan menyertai Grab secara sambilan sejak 2022, selain mengusahakan perniagaan burger.

Iklan

Perjalanannya bukan sentiasa mudah

Ketika mula menyertai Grab, antara cabaran yang perlu dihadapinya ialah memahami jalan dan berkomunikasi dengan pelanggan.

Iklan

Namun, bagi Syuhainie, cabaran bukan alasan untuk berhenti.

SYUHAINIE

Sebaliknya, dia mencari jalan untuk menyesuaikan diri dan memastikan setiap tugasan dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

“Saya mula pada 2022, dan saya buat Grab separuh masa sahaja,” katanya.

Dalam rutin hariannya, Syuhainie memulakan tugasan Grab sekitar jam 8 pagi hingga tengah hari sebelum berehat selama 30 minit dan meneruskan urusan mencari barangan untuk perniagaan burgernya.

Kehidupan itu mungkin kelihatan sederhana, namun di sebaliknya tersimpan satu tekad – untuk terus berusaha membina kehidupan yang lebih stabil.

Bila cabaran datang, dia cari jalan

Antara perkara yang membantu Syuhainie meneruskan pekerjaannya ialah kemudahan komunikasi yang tersedia melalui aplikasi Grab.

Melalui ruang chat, dia boleh menaip maklumat berkaitan lokasi, arahan penghantaran atau perkara yang diperlukan ketika berurusan dengan pelanggan.

Pelanggan pula boleh memberikan maklumat melalui mesej, sekali gus membolehkan urusan komunikasi dilakukan dengan lebih jelas.

Penggunaan AI dalam aplikasi turut membantu Syuhainie mendapatkan cadangan atau bantuan untuk menyampaikan mesej kepada pelanggan dengan lebih mudah dan jelas.

Bagi Syuhainie, teknologi itu bukan sekadar memudahkan urusan ketika bekerja, malah memberikan keyakinan untuk terus berdikari.

“Dengan bantuan AI, saya boleh mendapatkan cadangan atau bantuan untuk menyampaikan mesej kepada pelanggan dengan lebih mudah dan jelas.

“Bagi saya, penggunaan AI bukan sahaja memudahkan urusan kerja, tetapi turut memberi peluang kepada golongan seperti saya untuk bekerja dengan lebih yakin dan berdikari,” katanya.

Dari kiri: Rakan-Pemandu Grab, Marina Idris,  Syuhainie dan Rakan-Penghantar Grab, Muslimah Mustain membawa semangat Wirawati Negaraku untuk terus bergerak meskipun berdepan cabaran yang mungkin tidak difahami semua orang.

Pendekatan itu juga selari dengan usaha Grab membina ekosistem yang lebih inklusif untuk wanita dan komuniti orang kurang upaya (OKU).

Pada 2025, lebih 189,000 wanita dan rakan-pemandu OKU memperoleh pendapatan melalui Grab, peningkatan 40 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Buat Syuhainie sendiri, peluang untuk bekerja memberikan lebih daripada sekadar pendapatan.

Di luar waktu kerja, dia mahu meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga, meningkatkan kemahiran diri dan membina kehidupan yang lebih stabil.

Malah, dia berharap dapat menjadi contoh kepada komuniti pekak bahawa keadaan yang dihadapi tidak seharusnya menjadi penghalang untuk seseorang bekerja, berdikari dan mencapai impian.

Penghargaan kecil, makna besar

Antara detik yang paling diingati Syuhainie sepanjang menjadi rakan penghantar ialah apabila seorang pelanggan cuba berkomunikasi dengannya ketika penghantaran dan memberikan saguhati kerana kagum dengan usahanya.

Bagi Syuhainie, penghargaan tidak semestinya hadir dalam bentuk besar.

Ucapan terima kasih daripada pelanggan juga sudah cukup membuatkan dia berasa dihargai.

“Ramai orang akan berterima kasih dekat saya. Untuk saya, macam rasa, ‘Oh, okay.’ Saya appreciate benda tu.

“Even kalau customer tahu basic like saying thank you pun, saya appreciate benda tu,” katanya.

Detik kecil itu menjadi antara sebab dia terus melangkah.

Merdeka dengan makna tersendiri

Semangat untuk terus bergerak itu turut dibawa Syuhainie ke pentas yang lebih besar apabila dia dipilih menjadi sebahagian daripada kontinjen Grab sempena perarakan Merdeka.

Pasukan perarakan Hari Kebangsaan 2026 Grab Malaysia bangga dapat bersama menjayakan sambutan tahun ini.

Tahun ini bukan kali pertama dia menyertainya kerana Syuhainie pernah mengambil bahagian pada tahun lalu.

Namun, peluang tersebut tetap membuatkannya berasa seronok kerana dapat bergaul dengan ramai orang selain merasai semangat perpaduan dan patriotisme.

Baginya, penyertaan dalam perarakan turut meningkatkan disiplin dalam diri.

Lebih penting, pengalaman itu memberikan makna tersendiri terhadap erti kemerdekaan sebagai seorang wanita.

“Kemerdekaan untuk wanita, saya dapat hak kebebasan membina kerjaya seperti dapat buat Grab serta ada kedai burger sendiri.”

Di situlah letaknya makna Merdeka buat Syuhainie.

Syuhainie (depan, dua dari kiri) melangkah penuh semangat ketika menjadi sebahagian daripada kontinjen Grab Malaysia pada perarakan Hari Kebangsaan 2026 pada Ahad.

Bukan sekadar tentang sebuah perarakan, tetapi peluang untuk menentukan arah hidup sendiri dan berusaha mencapai apa yang diimpikan.

Pesan Syuhainie buat wanita Malaysia

Bagi Syuhainie, setiap wanita mempunyai cabaran masing-masing.

Namun, cabaran itu tidak sepatutnya menjadi sebab untuk seseorang berhenti mencuba.

Pesannya kepada wanita Malaysia cukup jelas – percaya pada diri sendiri, berani mencuba dan jangan takut untuk keluar daripada zon selesa.

Setiap wanita memiliki cabaran tersendiri dan mereka mampu mengatasinya dengan cekal serta tabah sering semangat kemerdekaan.

“Kita mungkin berdepan cabaran yang berbeza, tetapi kita juga mempunyai kekuatan untuk mengatasinya.

“Teruskan melangkah dan buktikan bahawa wanita mampu melakukan lebih daripada apa yang orang sangka,” katanya.

Dan mungkin itulah semangat sebenar #WirawatiNegaraku.

Ada wanita yang mengibarkan Jalur Gemilang di hadapan ribuan mata, dan ada pula yang menyumbang dalam diam melalui kerja serta usaha setiap hari.

Syuhainie memilih untuk terus melangkah.

Kerana bagi dirinya, Merdeka bukan sekadar bebas daripada batasan, tetapi bebas untuk percaya bahawa dia juga mampu membina kehidupan yang diimpikan.