Bomba ziarah kanak-kanak cedera digilis tayar ketika perarakan Merdeka

Iklan
Che Ku Muhammad Khairul Amir (tengah) menerima kunjungan daripada wakil JBPM Terengganu yang menziarahinya di HSNZ, Kuala Terengganu pada Isnin.

​KUALA TERENGGANU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu menziarahi kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang terlibat dalam insiden ketika sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu di sini pada Isnin.

​Kunjungan tersebut diketuai Timbalan Pengarah JBPM Terengganu, Penguasa Kanan Bomba I, Shahrin Yusmar Mat Yusof bagi mewakili pengurusan tertinggi bomba dan memberi sokongan moral kepada kanak-kanak itu yang juga peminat tegar pasukan bomba.

Iklan
Iklan

​JBPM Terengganu dalam kenyataan pada Isnin berkata, kunjungan itu merupakan tanda keprihatinan dan sokongan moral pihak JBPM Negeri Terengganu terhadap mangsa susulan kejadian yang berlaku semasa perarakan jentera bersempena sambutan kemerdekaan.

​"Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi berhampiran Wisma Persekutuan itu, mangsa dipercayai terjatuh berhampiran 'trailer' bot semasa pergerakan perarakan jentera.

Iklan

​"Hasil pemeriksaan setakat ini, pihak hospital memaklumkan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan hanya mengalami kecederaan ringan," jelas kenyataan itu.

​Sebelum ini, media melaporkan kanak-kanak tersebut cedera digilis tayar kenderaan yang membawa bot bomba dalam kejadian di hadapan Wisma Persekutuan, di sini pada Isnin.

Iklan

​Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 pagi itu, mangsa, Che Ku Muhammad Khairul Amir Che Ku Mohd Khairul Azlan mengalami kecederaan di bahagian kaki kiri selepas terjatuh ketika kenderaan pacuan empat roda yang menunda bot berkenaan mula bergerak secara perlahan.

​Ibu mangsa, Puteri Anis Athirah Wan Rosli, 36, dari Chendering berkata, dia datang ke lokasi itu bersama dua anaknya kerana kanak-kanak berkenaan teruja untuk melihat aset JBPM.

​Sementara itu, kenyataan JBPM tersebut memberitahu, mangsa kini masih berada di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini bagi tujuan pemantauan dan rawatan lanjut.

​"Pihak JBPM Negeri Terengganu turut mendoakan agar adik Amir diberikan kesembuhan dengan segera serta dapat kembali aktif seperti sediakala," jelas kenyataan itu lagi.