Paras air sungai meningkat, Nepal keluar amaran banjir susulan

Iklan
Penduduk di daerah terjejas digesa terus berwaspada susulan peningkatan paras Sungai Bhotekoshi. - Foto Agensi

DHADING - Pihak berkuasa Nepal memberi amaran mengenai kemungkinan berlakunya banjir susulan dan menggesa penduduk di daerah terjejas supaya terus berwaspada selepas paras air Sungai Bhotekoshi meningkat.

Amaran banjir dihantar ke telefon bimbit penduduk ketika pasukan penyelamat berusaha membersihkan lebuh raya utama yang menghubungkan Kathmandu dengan salah satu kawasan paling teruk terjejas akibat banjir dahsyat tersebut.

Iklan
Iklan

Notis terbaharu itu dikeluarkan selepas pihak berkuasa China memaklumkan tentang peningkatan aliran air di kawasan hulu sungai.

Agensi berita Xinhua yang memetik maklumat Kementerian Sumber Air melaporkan tasik baharu yang terbentuk selepas banjir pada Rabu lalu di kawasan pergunungan sebahagian besarnya sudah mengalir keluar.

Iklan

"Sebuah kawah yang terletak 5.6 kilometer di hulu sungai yang dianggarkan mengandungi 1.4 juta meter padu air juga masih berisiko dan perlu dipantau dengan rapi," menurut laporan itu lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa di Kathmandu mula mengebumikan sebahagian daripada ratusan mayat yang ditemukan selepas banjir besar seperti gelombang tsunami melanda wilayah Himalaya pada Rabu lalu.

Iklan

Sampel DNA diambil daripada mayat bagi membolehkan waris keluarga menjalankan upacara pengebumian mengikut adat masing-masing.

Pusat operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan hospital terus dibanjiri orang ramai yang kehilangan ahli keluarga manakala sebahagian yang lain berdepan kesukaran mengenal pasti jasad di bilik mayat yang semakin sesak.

Waris yang berkumpul sejak enam hari lalu juga terpaksa mengenal pasti mayat yang dijumpai menerusi paparan skrin LED.

Bencana dahsyat itu telah meragut hampir 1,000 nyawa manakala lebih 4,793 termasuk warga asing dilaporkan hilang.

Di Nepal, hampir 21,000 anggota keselamatan terlibat operasi SAR yang terus dipergiat di kawasan yang kini dilitupi lumpur tebal.

Sementara itu, Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah menerusi catatan di media sosial pada Ahad menyifatkan bencana yang melanda negara itu sebagai 'tidak terjangkau dek akal dan memilukan'.

Beliau berkata, banjir besar di Sungai Bhote Koshi, Rasuwa menyukarkan pihak berkuasa mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai jumlah korban dan kerosakan harta benda serta infrastruktur.

“Kami tetap bertekad untuk melindungi nyawa rakyat walaupun usaha ini berdepan cabaran akibat cuaca buruk, bentuk muka bumi yang sukar dan risiko yang masih berterusan,” ujarnya lagi. - AFP