APABILA kita berbicara mengenai kemerdekaan, lazimnya yang terbayang ialah kebebasan daripada penjajahan dan keupayaan sesebuah negara menentukan haluannya sendiri.
Namun, dalam konteks ekonomi, kemerdekaan membawa pengertian yang lebih luas. Ia merujuk kepada keupayaan sesebuah negara untuk berdiri di atas kaki sendiri, membuat keputusan ketika berhadapan dengan krisis dan membina kekuatan untuk bangkit semula.
Sepanjang hampir tujuh dekad merdeka, Malaysia telah beberapa kali diuji dengan krisis ekonomi yang besar. Setiap krisis mempunyai punca dan ciri yang berbeza, namun semuanya menuntut keberanian serta kecekapan pembuat dasar.
Krisis Kewangan Asia 1997–1998 merupakan antara ujian paling getir. Ekonomi Malaysia menguncup sebanyak 7.4 peratus pada 1998 apabila kejatuhan nilai mata wang, pasaran saham dan masalah sistem kewangan berlaku serentak.
Malaysia memilih pendekatan tersendiri. Ringgit ditambat pada kadar RM3.80 berbanding dolar AS, kawalan modal terpilih diperkenalkan, manakala Danaharta ditubuhkan bagi menangani masalah pinjaman tidak berbayar.
Danamodal pula memainkan peranan dalam memperkukuh kedudukan modal institusi perbankan. Pendekatan tersebut mungkin diperdebatkan pada ketika itu oleh institusi global seperti IMF dan Bank Dunia. Meskipun demikian, Malaysia mempunyai keupayaan institusi untuk membuat keputusan sendiri berdasarkan keadaan ekonomi domestik.
Ketahanan negara sekali lagi diuji ketika Krisis Kewangan Global 2008–2009 yang berpunca daripada krisis subprima di Amerika Syarikat (AS). Bagi mengurangkan impaknya, kerajaan memperkenalkan dua pakej rangsangan ekonomi bernilai keseluruhan RM67 bilion. Ekonomi menguncup 1.5 peratus pada 2009 sebelum kembali berkembang kukuh pada tahun berikutnya. Namun, ujian terbesar mungkin hadir pada 2020.
COVID-19 bukan sekadar krisis ekonomi, tetapi juga krisis kesihatan yang menyebabkan aktiviti ekonomi terhenti secara mendadak. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menguncup 5.5 peratus pada tahun tersebut.
Kali ini, tindak balas negara melibatkan hampir keseluruhan ekosistem. Kementerian Kesihatan berada di barisan hadapan. Kerajaan melaksanakan pelbagai pakej bantuan dan rangsangan. Institusi perbankan menyediakan moratorium pembiayaan, manakala KWSP menyediakan fleksibiliti pengeluaran simpanan berjumlah RM145 bilion bagi membantu isi rumah yang terjejas.
Apa yang menarik daripada ketiga-tiga episod ini ialah Malaysia tidak melalui jalan yang mudah, tetapi kita mempunyai institusi, kepakaran dan keupayaan domestik untuk menguruskan krisis tanpa bergantung kepada program bantuan IMF. Inilah antara makna kemerdekaan dalam kerangka ekonomi.
Namun, kemerdekaan ekonomi bukan hanya tanggungjawab kerajaan. Pada peringkat individu, kita perlu membina kemahiran, meningkatkan produktiviti, mengurus kewangan dengan berhemat dan mempunyai simpanan untuk menghadapi kecemasan. Bagi peniaga pula, daya tahan bermaksud sentiasa memperbaiki model perniagaan, menguasai teknologi, meningkatkan kecekapan dan berani mencari pasaran baharu.
Krisis akan datang lagi. Bentuknya mungkin berbeza — geopolitik, perubahan teknologi, kecerdasan buatan, perubahan iklim ataupun kejutan kewangan. Justeru, sebuah negara yang benar-benar merdeka bukanlah negara yang tidak pernah dilanda krisis. Sebaliknya, ia adalah negara yang mempunyai keupayaan untuk membuat keputusan sendiri, kekuatan untuk menanggung kejutan dan keyakinan untuk bangkit semula. Begitu juga dengan rakyatnya.
Kemerdekaan akhirnya bukan sekadar apa yang kita warisi pada 31 Ogos 1957. Kemerdekaan adalah keupayaan untuk terus memperbaiki diri supaya apabila cabaran mendatang, kita mampu berkata: kita boleh berdiri di atas kaki sendiri.
*Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid ialah Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad