SERING kali kita mendengar ibu bapa berkata, “Dia anak yang baik di rumah.” Namun, di luar rumah, tingkah laku anak tersebut mungkin berbeza sama sekali.
Persoalannya, adakah anak yang kita banggakan, kita sanjung dan kita tatang bagai minyak yang penuh benar-benar menunjukkan peribadi yang sama ketika berada di luar pengawasan kita?
Hakikatnya, ada anak yang menampilkan sikap, perangai dan tingkah laku yang berbeza apabila ibu bapa tiada di sisi.
Seolah-olah mereka menjadi individu yang tidak pernah kita kenali, baik dari segi dalaman mahupun luaran.
Mengapa keadaan ini berlaku? Di manakah silapnya? Adakah guru gagal menjalankan tanggungjawab, sistem pendidikan mempunyai kelemahan, atau puncanya turut berakar umbi daripada ibu bapa yang mengalami apa yang disebut sebagai minda tertawan?
Istilah ini, yang dikaitkan dengan pemikiran Syed Hussein Alatas, merujuk kepada keadaan apabila pemikiran dan pertimbangan seseorang terbelenggu oleh sikap atau kerangka pemikiran tertentu.
Persoalan ini wajar direnungkan bersama.
Pendidikan bukan sekadar mengejar A
Antara faktor yang perlu diberikan perhatian ialah kecenderungan pendidikan yang terlalu menumpukan pencapaian akademik, khususnya pembangunan kecerdasan intelektual (IQ) dan kemahiran kognitif, sehingga aspek pembangunan insan yang lain berisiko terpinggir.
Fenomena ini berlaku apabila sekolah dan ibu bapa terlalu mengutamakan deretan gred A dalam peperiksaan. Tidak dinafikan, setiap ibu bapa mengharapkan anak mereka memperoleh keputusan yang cemerlang, sekali gus menjadi kebanggaan keluarga.
Namun, persoalannya, adakah kecemerlangan akademik semata-mata sudah memadai dan selari dengan tuntutan agama?
Dalam Islam, pendidikan anak-anak bukan sekadar pembangunan akal, tetapi turut melibatkan pembangunan rohani, jasmani, hati, emosi, pengawalan nafsu dan pengukuhan iman.
Kesemua dimensi ini perlu dibangunkan secara seimbang agar pendidikan dapat melahirkan insan yang bukan sahaja cemerlang dari segi intelektual, malah mempunyai akhlak dan keperibadian yang mulia.
Justeru, adakah sekolah gagal memainkan peranan yang sewajarnya? Dalam hal ini, pihak sekolah tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya.
Ada kalanya, pendekatan pendidikan yang terlalu berorientasikan peperiksaan turut dipengaruhi oleh desakan ibu bapa yang mahukan anak mereka mencapai kecemerlangan akademik tanpa kompromi.
Apabila keputusan peperiksaan tidak memenuhi harapan, guru pula menjadi sasaran kritikan. Mereka dilabel sebagai gagal mendidik, tidak cekap atau tidak kompeten.
Akibat tekanan sedemikian, pendidikan berisiko berubah menjadi proses yang terlalu mekanikal, seolah-olah murid diprogramkan seperti robot untuk mencapai prestasi akademik yang tinggi.
Namun, di sebalik pencapaian tersebut, pembangunan jiwa, pengawalan nafsu, penghayatan iman dan pembentukan akhlak mungkin tidak diberikan perhatian yang sewajarnya.
Jika pendekatan pendidikan seperti ini berterusan, kita perlu bertanya: apakah kesannya terhadap generasi akan datang?
Ada kemungkinan ibu bapa yang dibesarkan dalam budaya mengejar pencapaian material dan akademik akan mengulangi corak pendidikan yang sama terhadap anak-anak mereka.
Kejayaan diukur berdasarkan keputusan peperiksaan, pekerjaan dan kedudukan hidup, sedangkan pembentukan akhlak serta hubungan dengan Tuhan kurang diberikan perhatian.
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa dalam keghairahan mengejar kejayaan duniawi, ada antara kita yang terlupa bahawa pendidikan juga bertujuan membimbing anak-anak mengenali Tuhan dan memahami tanggungjawab mereka sebagai manusia.
Double Standard: Anak cemerlang disanjung, anak lain dipinggirkan
Dalam sesebuah keluarga, setiap anak mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri.
Ada anak yang dikurniakan keupayaan intelektual yang tinggi lalu cemerlang dalam akademik.
Ada pula yang mempunyai tahap pencapaian akademik yang sederhana, tetapi mungkin menyerlah dalam bidang lain.
Hakikatnya, setiap anak mempunyai potensi yang perlu dikenal pasti dan dibangunkan.
Perbezaan keupayaan bukan alasan untuk membezakan kasih sayang atau nilai seseorang anak di mata ibu bapanya.
Namun, realitinya, ada keluarga yang mengamalkan layanan berbeza terhadap anak-anak berdasarkan pencapaian akademik mereka.
Anak yang cemerlang disanjung, disayangi dan diraikan. Kejayaannya dikongsikan dengan penuh kebanggaan, termasuk di media sosial untuk tatapan saudara-mara, jiran dan pengikut.
Dalam masa yang sama, keputusan peperiksaan anak yang kurang cemerlang mungkin disimpan secara tertutup kerana ibu bapa bimbang akan pandangan masyarakat.
Tanpa disedari, layanan yang berbeza ini boleh meninggalkan kesan mendalam kepada emosi dan keyakinan diri anak-anak.
Mereka mungkin mula membandingkan diri dengan adik-beradik sendiri, merasakan diri tidak cukup baik atau menganggap kasih sayang ibu bapa bergantung pada pencapaian.
Lebih membimbangkan, ada anak yang akhirnya melabel dirinya sendiri sebagai seorang yang gagal.
Mereka mula mempersoalkan nilai diri dan merasakan bahawa kewujudan mereka tidak memberikan kebanggaan kepada keluarga.
Walhal, nilai seorang anak tidak seharusnya ditentukan oleh gred peperiksaan semata- mata. Setiap anak mempunyai maruah, keistimewaan dan potensi yang tersendiri.
Anak yang kita bentuk, masyarakat yang kita wariskan
Sebagai ibu bapa, kita perlu bertanya kepada diri sendiri: adakah kita benar-benar mendidik anak untuk menjadi insan yang baik, atau sekadar melahirkan anak yang kelihatan berjaya pada pandangan masyarakat?
Kecemerlangan akademik sememangnya penting, tetapi ia bukan satu-satunya ukuran kejayaan pendidikan.
Anak-anak juga perlu dibimbing untuk mengenal diri, mengurus emosi, menghormati orang lain, membina akhlak dan memahami tanggungjawab mereka kepada Tuhan serta masyarakat.
Jika anak-anak dibesarkan dengan kepercayaan bahawa nilai diri mereka bergantung pada pencapaian dan pengiktirafan orang lain, mereka mungkin membawa kepercayaan tersebut hingga dewasa.
Apabila tiba masanya, mereka berisiko mengulangi corak yang sama terhadap anak-anak mereka sendiri.
Akhirnya, kita bukan sahaja mewariskan cara mendidik, malah turut mewariskan cara anak-anak menilai diri dan manusia di sekeliling mereka.
Jangan sampai dalam usaha melahirkan anak yang cemerlang di mata dunia, kita terlupa membimbing mereka menjadi insan yang baik di sisi Tuhan.
* Dr Rossidi Usop ialah Pensyarah Kanan di Universiti Sains Islam Malaysia