Pendidikan sepanjang hayat, sejauh mana Belanjawan 2027 membuka peluang?

Iklan
Belanjawan 2027 memberikan dorongan penting kepada pembangunan kemahiran dan pengukuhan budaya pembelajaran dalam masyarakat.

PENGUMUMAN peruntukan pembangunan kemahiran dan latihan profesional menerusi Belanjawan 2027 membuka ruang penting untuk memperkukuh agenda pembelajaran sepanjang hayat di Malaysia.

Dalam keadaan teknologi berkembang pesat dan keperluan pekerjaan semakin berubah, peluang meningkatkan ilmu tidak lagi boleh tertumpu kepada golongan muda yang baru memasuki pasaran kerja.

Iklan
Iklan

Sebaliknya, individu yang telah lama bekerja, mereka yang ingin meningkatkan kelayakan akademik serta golongan dewasa yang pernah menangguhkan pengajian juga perlu diberikan perhatian.

Persoalannya, sejauh manakah peruntukan yang diumumkan mampu diterjemahkan kepada peluang pembelajaran yang benar-benar dapat dimanfaatkan oleh golongan bekerja?

Iklan

Persoalan ini penting kerana peluang menyertai latihan tidak semestinya bermaksud seseorang mempunyai akses yang mudah untuk meneruskan pendidikan tinggi. Kekangan masa, kewangan, komitmen keluarga dan keperluan pekerjaan masih menjadi antara pertimbangan utama pelajar dewasa.

Belanjawan 2027 buka ruang pembangunan kemahiran

Iklan

Menerusi Belanjawan 2027 yang dibentangkan pada 9 Oktober lalu, kerajaan mengumumkan dana RM3 bilion melalui Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) bagi menyediakan tiga juta peluang latihan kemahiran, termasuk pembangunan profesional berterusan.

Kerajaan turut memperuntukkan RM8 bilion bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merentas kementerian.

Selain itu, Platform Rakyat Digital menyediakan akses percuma kepada lebih 16,000 kursus dan program sijil profesional melalui kerjasama dengan Coursera.

Inisiatif itumemperlihatkan perhatian terhadap kepentingan pembangunan bakat dan peningkatan kemahiran rakyat bagi menghadapi perubahan pasaran pekerjaan.

Langkah tersebut wajar dihargai kerana pembangunan modal insan bukan sekadar menyediakan pekerja untuk memenuhi keperluan pekerjaan hari ini, tetapi juga memastikan rakyat mempunyai keupayaan menyesuaikan diri dengan tuntutan masa hadapan.

Namun, kejayaan agenda ini tidak seharusnya dinilai melalui jumlah peluang latihan semata-mata. Lebih penting ialah sejauh mana latihan tersebut dapat meningkatkan kompetensi, menyokong perkembangan kerjaya dan membuka laluan kepada pendidikan yang lebih tinggi.

Dalam hal ini, latihan kemahiran, pendidikan profesional dan pengajian akademik perlu dilihat sebagai komponen yang saling melengkapi dalam ekosistem pembelajaran sepanjang hayat.

RPTM 2026–2035 perkukuh hala tuju pendidikan tinggi

Penekanan Belanjawan 2027 terhadap pembangunan kemahiran juga selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang dilancarkan pada Januari lalu.

Melalui Lonjakan 8, iaitu Pendidikan Fleksibel dan Pembelajaran Sepanjang Hayat, RPTM memberikan penekanan kepada peluasan akses pendidikan, pengiktirafan pembelajaran terdahulu, penggunaan teknologi pendidikan serta pengukuhan hubungan antara institusi pendidikan tinggi dengan industri.

Hala tuju ini penting kerana pendidikan tinggi tidak lagi boleh dilihat sebagai satu fasa yang bermula selepas persekolahan dan berakhir apabila seseorang memperoleh ijazah.

Sebaliknya, universiti perlu terus menjadi ruang pembelajaran yang boleh diakses oleh masyarakat pada pelbagai peringkat kehidupan. RPTM juga membuka ruang kepada hubungan yang lebih tersusun antara pembelajaran formal, bukan formal dan tidak formal.

Oleh itu, Belanjawan 2027 boleh menjadi pemangkin kepada pelaksanaan aspirasi tersebut, khususnya dalam memperluas peluang pendidikan kepada mereka yang telah berada dalam dunia pekerjaan.

Namun, pelaksanaan agenda ini memerlukan penyelarasan yang jelas antara peruntukan latihan, kerangka kelayakan akademik, pengiktirafan pembelajaran dan sokongan kepada pelajar dewasa.

Pendidikan tinggi tidak seharusnya mempunyai had usia

Tidak semua individu berpeluang memasuki universiti sebaik sahaja menamatkan persekolahan. Ada yang perlu bekerja lebih awal untuk membantu keluarga, membiayai kehidupan atau membina kestabilan kewangan. Ada juga yang pernah menangguhkan pengajian kerana komitmen pekerjaan dan tanggungjawab keluarga.

Namun, keputusan tersebut tidak seharusnya menjadi penghalang untuk kembali menuntut ilmu. Peluang kedua dalam pendidikan bukan bermaksud menawarkan pendidikan kelas kedua. Sebaliknya, peluang itu memberikan ruang kepada seseorang untuk merealisasikan aspirasi akademik pada peringkat kehidupan yang berbeza.

Malah, pelajar dewasa membawa pengalaman pekerjaan, kematangan pemikiran dan pengetahuan praktikal yang boleh memperkaya proses pembelajaran.

Sebagai contoh, pekerja yang telah lama terlibat dalam pengurusan organisasi mungkin dapat menghubungkan teori kepimpinan dengan situasi sebenar di tempat kerja. Apabila pengalaman tersebut digabungkan dengan ilmu akademik, pemikiran kritis dan kemahiran penyelidikan, pembelajaran menjadi lebih bermakna.

Di sinilah universiti memainkan peranan penting dalam membantu golongan bekerja mengembangkan potensi diri serta meningkatkan kelayakan profesional mereka.

USM merintis pendidikan jarak jauh sejak 1971

Dalam memperkukuh agenda pembelajaran sepanjang hayat, pengalaman Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) wajar diketengahkan sebagai antara contoh penting usaha memperluas akses pendidikan tinggi di negara ini.

USM merupakan perintis pendidikan jarak jauh di Malaysia melalui Program Luar Kampus yang bermula pada Mei 1971. Sejarah ini membuktikan bahawa usaha menyediakan pendidikan tinggi kepada golongan bekerja bukan sesuatu yang baharu diperkenalkan susulan perkembangan teknologi digital. Sebaliknya, komitmen tersebut telah menjadi sebahagian daripada aspirasi USM selama lebih lima dekad.

Pada 2026, PPPJJ meraikan 55 tahun perjalanan pendidikan jarak jauh. Berdasarkan maklumat rasmi pusat pengajian itu, lebih 30,000 graduan telah berjaya menamatkan pengajian melalui pendekatan ini.

Angka tersebut menggambarkan sumbangan penting PPPJJ dalam membuka peluang pendidikan kepada masyarakat. Di sebalik pencapaian itu, terdapat perjalanan individu yang perlu membahagikan masa antara pekerjaan, keluarga dan tanggungjawab akademik.

Bagi mereka, kejayaan memperoleh ijazah bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi turut mencerminkan ketekunan, disiplin dan kesungguhan untuk memperbaiki kehidupan.

Kekuatan PPPJJ melangkaui fleksibiliti pembelajaran

Kekuatan PPPJJ bukan semata-mata terletak pada peluang belajar sambil bekerja, tetapi juga pada pendekatan pendidikan yang mengambil kira realiti kehidupan pelajar dewasa.

Melalui penawaran program akademik dalam pelbagai disiplin, penggunaan teknologi pembelajaran digital, bahan pembelajaran kendiri dan sokongan pensyarah, PPPJJ menyediakan persekitaran pembelajaran yang tersusun.

Penggunaan sistem pengurusan pembelajaran PEARL, misalnya, membolehkan bahan kursus dan interaksi akademik dilaksanakan melalui platform dalam talian. Pendekatan ini memberikan ruang kepada pelajar untuk menguruskan pembelajaran dengan lebih fleksibel, tertakluk pada keperluan akademik program masing-masing.

Walau bagaimanapun, fleksibiliti bukan bermaksud standard akademik dikurangkan.

Pelajar pendidikan jarak jauh tetap perlu memenuhi hasil pembelajaran, melaksanakan tugasan, menjalani pentaksiran dan mencapai tahap penguasaan akademik yang ditetapkan.

Dalam konteks ini, pendidikan jarak jauh perlu dihargai sebagai pendekatan pendidikan tinggi yang mempunyai kekuatan tersendiri, bukannya pilihan yang kurang bernilai berbanding pengajian konvensional.

Lebih penting, kejayaan PPPJJ selama 55 tahun memperlihatkan bahawa pendidikan tinggi boleh terus berkembang mengikut perubahan keperluan masyarakat tanpa meninggalkan prinsip kualiti akademik.

APEL dan microcredential memperluas laluan pendidikan

Dalam memperkukuh pendidikan sepanjang hayat, pengiktirafan pengalaman pekerjaan juga semakin penting.

Melalui Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu atau Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL), pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh di luar pendidikan formal boleh dinilai berdasarkan kerangka yang ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

APEL.A menyediakan laluan penilaian bagi tujuan kemasukan ke program pengajian, manakala APEL.C membolehkan pembelajaran terdahulu dipertimbangkan untuk penganugerahan kredit bagi kursus tertentu, tertakluk pada syarat berkaitan.

Pendekatan ini mengiktiraf pengalaman pekerjaan tanpa mengabaikan keperluan standard akademik.

Selain itu, microcredential menawarkan pembelajaran yang lebih khusus dan fleksibel bagi individu yang ingin meningkatkan kompetensi tertentu.

Walau bagaimanapun, microcredential bukan pengganti automatik kepada kelayakan ijazah. Nilainya perlu disokong oleh hasil pembelajaran, pentaksiran dan pengiktirafan yang jelas.

Dalam hubungan ini, universiti mempunyai peluang untuk menghubungkan latihan profesional, microcredential dan pendidikan formal melalui laluan pembelajaran yang lebih tersusun.

Cabaran sebenar pelajar dewasa perlu diberikan perhatian

Walaupun peluang pembelajaran semakin berkembang, golongan bekerja masih berhadapan dengan cabaran masa, kos pengajian, jadual pekerjaan dan tanggungjawab keluarga.

Bagi pekerja syif atau individu yang mempunyai tanggungjawab menjaga anak dan ibu bapa, mengikuti pengajian memerlukan pengurusan masa yang teliti.

Oleh itu, penyediaan kursus dalam talian sahaja belum mencukupi untuk memastikan akses pendidikan benar-benar inklusif. Institusi pendidikan tinggi perlu terus memperkukuh reka bentuk kurikulum, bimbingan akademik, sokongan teknologi dan pendekatan pembelajaran yang bersesuaian dengan keperluan pelajar dewasa.

Pada masa yang sama, majikan perlu melihat pendidikan pekerja sebagai pelaburan jangka panjang, bukannya gangguan terhadap produktiviti organisasi.

Kerjasama antara universiti dengan industri boleh membantu memastikan program yang ditawarkan kekal relevan dengan perkembangan pekerjaan dan keperluan kompetensi semasa.

Peruntukan besar perlu diterjemahkan kepada hasil sebenar

Pengumuman tiga juta peluang latihan melalui HRD Corp merupakan komitmen penting dalam Belanjawan 2027.

Namun, bilangan peluang latihan tidak semestinya menggambarkan jumlah individu berbeza yang berjaya meningkatkan kelayakan atau memperoleh manfaat kerjaya.

Oleh itu, penilaian keberkesanan perlu mengambil kira peningkatan kompetensi, penggunaan kemahiran dalam pekerjaan, perkembangan kerjaya dan kesinambungan pembelajaran.

Kerajaan juga wajar mempertimbangkan mekanisme yang dapat menghubungkan latihan jangka pendek dengan laluan pendidikan tinggi formal apabila memenuhi syarat akademik berkaitan.

Pada masa yang sama, sokongan pembiayaan dan insentif pembelajaran bagi golongan bekerja boleh diperluas secara bersasar, khususnya kepada mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah.

Langkah sedemikian penting supaya aspirasi RPTM 2026–2035 untuk membangunkan pendidikan fleksibel dan pembelajaran sepanjang hayat dapat diterjemahkan kepada manfaat yang lebih menyeluruh.

Membina masa depan melalui pendidikan sepanjang hayat

Secara keseluruhannya, Belanjawan 2027 memberikan dorongan penting kepada pembangunan kemahiran dan pengukuhan budaya pembelajaran dalam masyarakat.

Namun, kejayaan sebenar bergantung pada sejauh mana peluang tersebut dapat dimanfaatkan oleh individu yang mempunyai latar belakang, pengalaman dan komitmen kehidupan yang berbeza.

Dalam hal ini, pengalaman USM melalui PPPJJ sejak 1971 membuktikan bahawa pendidikan tinggi boleh disediakan secara fleksibel tanpa mengabaikan kualiti akademik.

Kekuatan PPPJJ bukan hanya terletak pada sejarah panjang atau jumlah graduannya, tetapi juga pada komitmen membuka pintu universiti kepada mereka yang masih mempunyai keinginan untuk belajar dan memperbaiki masa depan.

Bagi pelajar dewasa, kembali ke universiti merupakan keputusan besar yang menuntut pengorbanan masa, tenaga dan kesungguhan. Namun, setiap usaha tersebut membawa nilai yang melangkaui segulung ijazah. Ia membina keyakinan diri, memperluas pemikiran dan membuka ruang kepada perkembangan kerjaya serta kehidupan.

Pendidikan jarak jauh bukan pilihan kedua dari segi kualiti, tetapi laluan yang membolehkan lebih ramai individu mencapai aspirasi pendidikan tinggi.

Akhirnya, kejayaan pendidikan sepanjang hayat bukan hanya diukur melalui jumlah kursus yang ditawarkan, tetapi juga melalui kemampuan negara memastikan peluang menuntut ilmu terus terbuka pada setiap peringkat kehidupan.

Hal ini demikian kerana pendidikan yang benar-benar inklusif bukan hanya membuka pintu universiti kepada mereka yang baru memulakan perjalanan hidup, tetapi turut meraikan mereka yang mempunyai keberanian untuk kembali belajar dan membina masa depan yang lebih baik.

*Nik Norliati Fitri Md Nor ialah Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa)Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia