Pekan Sambal angkat warisan, perkasa rantaian industri cili

Iklan
Isham (tiga dari kiri) melancarkan Pekan Sambal Laman Sayur sempena MAHA 2026 di MAEPS, Serdang pada Sabtu.

SERDANG – Sambal bukan sekadar pelengkap hidangan, sebaliknya warisan kulinari negara yang berpotensi dikembangkan menjadi produk bernilai tinggi menerusi pembangunan industri hiliran secara lebih tersusun.

Atas semangat itu, Pekan Sambal yang menghimpunkan pelbagai produk sambal tempatan dilancarkan di Laman Sayur sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Pelancaran itu disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham Ishak, sekali gus memperkukuh usaha mengangkat makanan warisan negara serta produk hiliran berasaskan hasil pertanian.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, Pekan Sambal diwujudkan sebagai platform menghimpunkan pengusaha tempatan untuk membawa produk sambal daripada skala kecil dan buatan sendiri ke tahap lebih komersial.

Iklan

Menurutnya, perkembangan industri produk hiliran bukan sahaja membuka peluang lebih luas kepada usahawan makanan, malah mampu mengukuhkan keseluruhan rantaian nilai sektor pertanian, khususnya tanaman cili.

“Kalau kita dapat mengumpulkan hasil daripada petani kecil secara lebih efektif, ia boleh disalurkan kepada pengusaha yang menghasilkan produk hiliran,” katanya.

Iklan

Pada majlis itu, sembilan jenis sambal yang diiktiraf sebagai makanan warisan kebangsaan oleh Jabatan Warisan Negara turut diketengahkan, antaranya sambal belimbing hitam, sambal asam rom dan sambal belacan.

Mohamad Zabawi berkata, MARDI ketika ini membimbing lebih 200 usahawan makanan daripada pelbagai peringkat, termasuk mereka yang baru bermula secara kecil-kecilan sehingga pengusaha yang berjaya menjana pendapatan mencecah jutaan ringgit.

Mohamad Zabawi (kiri) berkongsi pengalaman mengenai sambal kegemaran sambil diperhatikan Azmi.

Katanya, bimbingan itu merangkumi aspek teknikal penanaman termasuk kawalan penyakit dan pengurusan tanaman, selain pembangunan produk dari segi kualiti, ketahanan, formulasi, pembungkusan dan pelabelan.

“Kita sentiasa membuka ruang kepada usahawan baharu, usahawan muda dan pengusaha kecil untuk mendapatkan bimbingan supaya produk mereka dapat berkembang ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Seni Warisan Artistik Digital Malaysia, Azmi Jaffri berkata, Pekan Sambal berpotensi menjadi platform penting untuk memperkenalkan kekayaan makanan warisan Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Katanya, kepelbagaian sambal daripada pelbagai negeri dan kaum mempunyai keunikan tersendiri yang boleh diketengahkan sebagai antara identiti kulinari negara.

“Kita mahu sambal Malaysia bukan sekadar dikenali di negara ini, tetapi diangkat sebagai antara identiti kulinari negara di pentas antarabangsa.

“Alhamdulillah, kita juga menerima tawaran untuk membawa Pekan Sambal ke London pada tahun hadapan. Ia akan menjadi peluang terbaik untuk memperkenalkan kepelbagaian sambal warisan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa,” katanya.

Pekan Sambal yang mendapat sokongan tajaan RHB Islamic itu dilihat mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan produk hiliran berasaskan cili, di samping memperkukuh kerjasama antara sektor korporat, usahawan dan industri agromakanan dalam memartabatkan warisan kulinari Malaysia.