KAJANG – Seorang lelaki tempatan dilaporkan hilang selepas kali terakhir dikesan berada di Genting Highlands, Pahang pada 26 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan individu tersebut pada jam 11.32 malam, 28 Ogos lalu.
“Polis Daerah Kajang menerima satu laporan polis berkaitan kes orang hilang pada 28 Ogos 2026.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan individu tersebut diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang,” katanya dalam kenyataan media pada Ahad.
Menurut beliau, lelaki berkenaan dikenali sebagai Lee Chee Hau, 23, dan dipercayai hilang kira-kira jam 9 malam pada 26 Ogos lalu.
Naazron berkata, Lee mempunyai ketinggian antara 175 hingga 180 sentimeter, berat badan antara 65 hingga 70 kilogram, berbadan kurus, berambut pendek dan lurus serta berkulit cerah.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Kajang di talian 03-8911 4222 atau Pegawai Penyiasat, Sarjan Nor Azliza Abdullah di talian 019-2537319.
“Kerjasama orang ramai amat diperlukan bagi membantu pihak polis mengesan individu berkenaan,” katanya.