Waris mangsa hilang di Nepal diminta bersedia untuk ujian DNA

Iklan
This aerial photograph shows houses covered heavily in sludge in the aftermath of flash floods at Devighat in Nepal's Nuwakot district on August 29, 2026. Nearly 3,000 people were still missing on August 29 and 633 confirmed dead after flash floods and landslides hit the Nepal-Tibet border. (Photo by Manan VATSYAYANA / AFP)

PUTRAJAYA - Waris rakyat Malaysia yang belum dapat dikesan susulan banjir kilat dan tanah runtuh di Nepal diminta bersedia menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi membantu proses pengecaman identiti.

Sivakumar Kalimuthu, 57, yang masih menanti khabar mengenai isterinya Kalai Mathe Karuppaiah, 57, berkata, mereka dimaklumkan mengenai keperluan ujian itu pada sesi taklimat oleh Kementerian Luar di Wisma Putra hari ini.

Iklan
Iklan

"Pihak polis akan menghubungi kami untuk tujuan ujian DNA dan saya perlu mengumpulkan tiga anak untuk ujian tersebut,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, ujian DNA itu antara persediaan berikutan penemuan beberapa jasad belum dikenal pasti di kawasan bencana yang terpaksa dikebumikan segera kerana ketiadaan fasiliti penyimpanan sesuai di lokasi.

Iklan

Sivakumar berkata, anaknya kini berada di Singapura, Kedah dan Selangor, dan mereka masih bersedih serta terus berharap wanita itu ditemukan selamat.

Berhubung komunikasi terakhir mereka, Sivakumar berkata, menerima panggilan daripada Kalai Mathe yang juga seorang suri rumah pada kira-kira 11 pagi Selasa lepas.

Iklan

"Isteri memaklumkan dia dan kumpulan pelancong dari Malaysia sebanyak 17 orang mahu bergerak masuk ke Kailash untuk sembahyang dan selepas itu tiada lagi sebarang komunikasi,” katanya.

Sivakumar berkata, akan terus berdoa agar isterinya berada dalam keadaan selamat dan berharap dapat membawa wanita itu pulang ke tanah air.

Terdahulu, taklimat tertutup oleh Kementerian Luar memaklumkan waris rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan digalakkan menjalani ujian DNA di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri bermula esok selepas menerima pemakluman rasmi.

Ujian itu akan digunakan sebagai rujukan silang profil identiti bagi membantu proses pengecaman mangsa kejadian itu yang berlaku pada Rabu lepas. - Bernama