Tiga pemandu ditahan, tiga treler disita pindah bahan mineral

Iklan
Wan Rosdy bercakap kepada pemberita.

RAUB - Tiga pemandu lori ditahan bagi membantu siasatan manakala tiga lori treler disita Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dalam operasi terhadap aktiviti pemindahan bahan mineral disyaki bijih di Sungai Batu, Mukim Batu Talam di sini pada Sabtu

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan itu dibuat susulan rondaan pemantauan dan risikan terhadap aktiviti pemindahan bahan mineral di kawasan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Pemantauan menggunakan dron telah mengesan tiga lori treler yang disyaki membawa bahan mineral keluar dari kawasan perlombongan.

"Ketiga-tiga lori berkenaan kemudiannya ditahan untuk pemeriksaan dan semakan mendapati pemandu mengemukakan Borang 13D dan Delivery Order (DO) dari kelulusan kawasan lain bagi tujuan pengangkutan bahan mineral," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Wan Rosdy berkata, pemeriksaan lanjut mendapati lokasi stokpile bahan mineral yang ditunjukkan pemandu berada di luar kawasan perlombongan yang dibenarkan seperti dinyatakan dalam dokumen dikemukakan.

Menurutnya, pihak penguat kuasa mendapati lokasi stokpile tersebut berada di kawasan yang mempunyai Lesen Pendudukan Sementara (LPS) dan ketiga-tiga pemandu gagal mengemukakan dokumen atau kelulusan yang sah berkaitan lokasi berkenaan.

Iklan

Beliau berkata, tiga keping Borang 13D turut dirampas, manakala dua sampel bahan mineral yang disyaki bijih besi diambil bagi tujuan siasatan dan pendakwaan.

"Tindakan sitaan dan tangkapan dibuat di bawah Seksyen 137 Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001, manakala kesalahan berkaitan maklumat dan kemungkiran terma atau syarat sedang disiasat di bawah Seksyen 159 dan Seksyen 165 Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001.

"Ketiga-tiga individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong dan kemudiannya dilepaskan dengan jaminan polis, manakala ketiga-tiga kenderaan yang disita dibawa ke Tapak Sitaan UPNP Zon Pahang Tengah di Temerloh," katanya.

Dalam pada itu, Wan Rosdy mengarahkan supaya kertas siasatan dibuka dan siasatan menyeluruh dijalankan bagi menentukan sama ada berlaku pelanggaran terhadap syarat serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti berkaitan sumber mineral tanpa mematuhi undang-undang, syarat lesen, permit dan kelulusan yang ditetapkan.

"Penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa, termasuk melalui penggunaan teknologi pemantauan dan risikan, bagi memastikan hasil bumi negeri diurus secara teratur, bertanggungjawab dan mengikut peruntukan undang-undang," katanya.