Isu premis judi Kedah: Geraham sedia jadi orang tengah Pas, PKR

Iklan
Noor Hakimi

ALOR SETAR - Gabungan Gerakan Rakyat Hidupkan Amar Maaruf Hapuskan Aktiviti Maksiat (Geraham) bersedia menjadi orang tengah mempertemukan Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah dalam isu penyelesaian premis judi.

Pengerusinya, Noor Hakimi Ab Halim berkata, pihaknya bersedia menjadi jambatan merapatkan kedua-dua pihak demi satu matlamat bersama iaitu melindungi rakyat daripada kemudaratan perjudian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, badan bukan kerajaan (NGO) itu menawarkan Meja Bulat Kedah Bebas Judi dengan penglibatan parti lain termasuk UMNO, Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Wawasan.

"Geraham juga terbuka untuk melibatkan MCA, MIC, Gerakan dan DAP kerana persoalan perjudian dan gejala sosial merentasi sempadan agama, kaum, budaya serta fahaman politik. Kesan buruk perjudian terhadap keluarga tidak memilih latar belakang mangsanya," katanya dalam kenyataan.

Iklan

Beliau dalam masa sama meminta supaya tidak menjadikan isu terbabit sebagai medan Pas melawan PKR, sebaliknya ruang bagi kedua-dua parti bersama semua pihak yang berkongsi matlamat sama mencari penyelesaian terbaik untuk rakyat Kedah.

"Geraham bersedia menjadi jambatan ke arah persefahaman tersebut, duduk semeja, cari titik temu, satukan usaha, lindungi rakyat Kedah daripada kemudaratan judi," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas mengambil kira pandangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah yang memaklumkan pihaknya tidak menyokong aktiviti perjudian.

Katanya, pendirian itu juga selari dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini menyatakan kerajaan tidak menyokong aktiviti perjudian.

Dalam konteks persamaan matlamat, Noor Hakimi berkata, Pas selaku parti yang menerajui kerajaan negeri Kedah membawa pelbagai agenda berkaitan kebajikan dan pembasmian kemiskinan, manakala PKR di peringkat kerajaan Persekutuan turut memberi perhatian terhadap usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat serta membasmi kemiskinan.

"Ini menunjukkan bahawa di sebalik perbezaan politik, masih terdapat ruang yang luas untuk Pas dan PKR mencari titik temu," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, usaha membantu keluarga berpendapatan rendah juga perlu mengambil kira ancaman gejala sosial yang boleh menjejaskan kesejahteraan mereka.

Menurutnya, perjudian berpotensi menjejaskan kewangan keluarga, mendorong masalah hutang dan akhirnya mengganggu keharmonian rumah tangga.

Beliau berharap polemik berhubung isu berkenaan tidak berpanjangan sehingga berkembang menjadi perseteruan politik antara Pas dan PKR.

"Apa yang lebih penting ialah mencari jalan penyelesaian yang boleh memberi manfaat kepada seluruh rakyat," katanya.