KUALA LUMPUR - Wisma Putra disaran mewujudkan pusat sehenti khusus bagi memastikan waris 91 rakyat Malaysia yang belum dapat dihubungi susulan bencana di sempadan Nepal-China menerima maklumat secara langsung, berkala dan konsisten.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R Yuneswaran berkata, pusat itu perlu dilengkapi talian 24 jam, nombor rujukan kes serta pegawai yang boleh dihubungi pada bila-bila masa.
"Seorang pegawai perhubungan khusus juga perlu dilantik bagi setiap keluarga supaya tiada waris tercicir daripada aliran maklumat, dan mereka tidak perlu menghubungi pelbagai agensi untuk mendapatkan perkembangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berdasarkan kenyataan rasmi Wisma Putra setakat jam 8 malam semalam, sebanyak 55 rakyat Malaysia di Nepal dan 36 di China belum dapat dihubungi, dengan angka itu masih melalui proses pengesahan dan semakan silang bagi mengelakkan pertindihan laporan.
Antara yang belum dapat dihubungi ialah pelancong, pendaki, mereka yang melakukan ziarah keagamaan ke Gunung Kailash serta dua pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Yuneswaran turut mencadangkan taklimat pada waktu yang tetap setiap hari kepada keluarga terlibat walaupun tiada maklumat baharu.
"Kesunyian maklumat hanya akan menambahkan tekanan dan penderitaan keluarga,” katanya.
Beliau berkata, penyelarasan antara Wisma Putra, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), JBPM, pihak berkuasa Nepal dan China, agensi pelancongan serta syarikat telekomunikasi perlu dipergiat bagi menyemak manifes perjalanan, nombor pasport, laluan perjalanan dan lokasi terakhir setiap individu.
Selain itu, sokongan psikososial kepada keluarga perlu disediakan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Kesihatan, selain bantuan berkaitan dokumen, perjalanan dan logistik kepada waris yang memerlukan.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat, gambar atau angka yang belum disahkan kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan serta menambah keresahan keluarga. - Bernama