Pahang bakal perkenal skim pinjaman motosikal tanpa faedah

Iklan
Wan Rosdy (tiga dari kiri) menyerahkan replika cek kepada Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), Datuk Ahmad Zamri Md Isa.

KUANTAN – Kerajaan Pahang bakal menyediakan pinjaman pembelian motosikal tanpa faedah kepada golongan muda berusia antara 18 hingga 21 tahun sebagai galakan kepada mereka yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, cadangan itu akan dibentangkan menerusi Belanjawan Pahang 2027 yang dijadual dibentangkan pada November atau Disember ini.

Iklan
Iklan

"Perkara ini sepatutnya dibentangkan semasa belanjawan, namun atas cadangan rakan Exco, saya umum terus untuk mengurangkan rasa kecewa mereka yang tidak dapat motosikal hari ini.

"Menerusi skim ini, peminjam hanya perlu membayar mengikut jumlah yang dipinjam tanpa sebarang faedah. Sebagai contoh, jika pinjam RM5,000, bayarannya tetap RM5,000," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Inisiatif Makmur Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Dewan Kompleks Sukan, Universiti Malaysia Pahang Al- Sultan Abdullah (UMPSA), Gambang di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut mengenai program itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memberi penghargaan kepada pelajar yang menunjukkan kecemerlangan dalam pendidikan.

Iklan

Katanya, seramai 2,326 pelajar menerima anugerah menerusi pencapaian SPM, STPM dan STAM dengan implikasi kewangan berjumlah RM2.426 juta.

“Setiap pelajar cemerlang hari ini boleh dikatakan menerima RM1,000 seorang, manakala penerima Anugerah Khas Pelajar STPM menerima RM1,000.

“Bagi Anugerah Khas Sekolah Cemerlang STPM pula, sebanyak RM2,000 diberikan,” katanya.

Wan Rosdy berkata, program berkenaan adalah usaha berterusan kerajaan negeri sebagai tanda penghargaan kepada pelajar yang dianggap sebagai aset kepada Pahang.

Beliau turut berharap penerima anugerah dapat mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang pada masa akan datang dan menyumbang semula kepada negeri.

“Mudah-mudahan dalam masa mungkin 10 atau 15 tahun akan datang, mereka akan mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang termasuk kejuruteraan, akauntan atau usahawan.

"Mereka ini suatu hari ini boleh menyumbang balik kepada negeri Pahang,” katanya.