MAHA 2026 lembaran baharu pertanian negara

Iklan
Mohamad berucap pada perasmian MAHA 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) pada Sabtu.

SERDANG - Penggunaan teknologi Internet of Things (IoT), sistem pengairan pintar, ekosistem produk agromakanan, agropelancongan dan pertanian lestari yang menjadi fokus strategik Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 akan menjadi lembaran baharu naskhah pertanian negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penerapan lain yang turut ditekankan ialah tanaman tahan iklim, amalan hijau dan varieti baharu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pendekatan diambil itu juga selari usaha memastikan sektor pertanian terus berdaya tahan dalam menghadapi cabaran perubahan iklim serta peluang kepada produk pertanian yang dihasilkan melalui amalan terbaik dan lestari untuk memperluas pasaran domestik serta menembusi pasaran antarabangsa.

"Saya berharap MAHA 2026 akan menjadi lembaran baharu naskhah pertanian negara di mana kita akan mula mengorak langkah memberi penekanan dan tumpuan kepada aspek kelestarian.

Iklan

"Janganlah kita menganggap kemampanan sektor pertanian dan agromakanan amalan lestari satu perkara kecil.

"Ia mampu membantu negara menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon dan pemanasan global, yang kini kita berhadapan dengan fenomena El Nino," katanya ketika berucap merasmikan MAHA 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini pada Sabtu.

Iklan

Turut hadir, Timbalan Menteri KPKM, Datuk Chan Foong Hin, Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak dan tetamu kenamaan lain.

Tarik penyertaan 14 negara

Pengunjung melihat pelbagai pameran serta menyertai aktiviti yang disediakan pada MAHA 2026 di MAEPS, Serdang pada Sabtu - Foto: Bernama

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, MAHA kali ini turut memperkukuh hubungan dan kerjasama antarabangsa melalui penyertaan delegasi dari 14 negara.

Katanya, antara negara terlibat ialah Amerika Syarikat (AS) Rusia, China, Jepun, Korea Selatan, Brazil, Kenya, Uzbekistan, Denmark, Hungary, Belanda, Sepanyol, Thailand dan Palestin.

"Saya difahamkan beberapa persefahaman kerjasama antara negara akan dimuktamadkan pada MAHA 2026 kali ini. Saya mendoakan jalinan kerjasama yang dijalinkan akan memberi pulangan positif kepada negara khususnya sektor agromakanan.

"Pihak KPKM tidak hanya mahu melihat MoU ditandatangani, tetapi juga peluang peningkatan hasil jualan eksport serta pengusaha tempatan terutamanya syarikat-syarikat baharu start-up dalam bidang agro-teknologi memperoleh suntikan modal pelabur tempatan dan antarabangsa," katanya.

Beliau menambah, penyertaan antarabangsa tersebut membuka ruang kepada perkongsian teknologi dan inovasi serta pengukuhan jaringan kerjasama dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan.

Sasar RM8 bilion potensi pelaburan

Sementara itu, KPKM menyasarkan potensi pelaburan sekurang-kurangnya RM8 bilion menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA).

Beliau berkata, daripada jumlah itu, RM4 bilion dianggarkan dari China.

"Dari segi MoU yang kita dah ada 121 yang merangkumi pelbagai aktiviti kerjasama termasuklah pertukaran teknologi dan pelaburan.

"Dalam masa yang sama, MAHA 2026 menyediakan ruang yang lebih luas bagi peluang pelaburan dan pemerkasaan syarikat pemula (start-up) agroteknologi," katanya.

Sementara itu, beliau dalam masa sama turut menyarankan pengunjung untuk memakai pelitup muka susulan keadaan situasi jerebu yang melanda negara ketika ini.

"Pengunjung digalak pakai pelitup muka supaya dapat mengurangkan pendedahan kepada risiko kesihatan.

"Difahamkan untuk hari pertama semalam (Jumaat) kita menerima kehadiran lebih 140,000 pengunjung dan hari ini (Sabtu) saya jangkakan lebih 300,000 akan hadir," katanya.

Pameran MAHA 2026 menarik kehadiran orang ramai yang mengambil kesempatan untuk meneroka pelbagai produk, inovasi dan teknologi dalam sektor pertanian serta agro makanan yang bertemakan ‘Penciptaan Nilai untuk Keterjaminan Makanan’ berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September ini.

Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) pada Sabtu merekodkan sebanyak dua kawasan di Sarawak menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) dua kawasan itu ialah Sri Aman (227) dan IPD Serian (214).

Sementara itu, 30 kawasan pula merekodkan IPU tidak sihat masing-masing tujuh di Sarawak Pulau Pinang (3), Selangor (4), Perak (4), Kedah (4), Kuala Lumpur (2) dan masing-masing satu di Perlis, Johor, Negeri Sembilan dan Putrajaya.

Dalam pada itu, seorang pengunjung, Mazniza Sairi, 46, berkata, dia melihat banyak penambahbaikan dilakukan pada MAHA 2026 kali ini berbanding sebelum ini termasuklah dalam aspek pengurusan seperti penyediaan pengangkutan yang lebih cekap dan selesa.

"Selain itu petugas juga bertambah dan ini sangat membantu pengunjung.” katanya.

Pelajar Kolej Vokasional Pertanian Teluk Intan, Perak, Syaza Zulaikha Saiful Bahari, 17, pula berkata, pameran kali ini banyak memfokuskan kepada usaha untuk menarik penglibatan golongan muda dan ini merupakan satu usaha yang baik dilaksanakan MAHA 2026 kali ini

Seorang lagi pelajar, Muhammad Firdaus Sumaily, 17, mengakui banyak perkara yang dilihat di MAHA mungkin sukar ditemui tempat lain.

"Pada saya ini merupakan usaha yang baik apatah lagi bagi pelajar bidang pertanian seperti kami." katanya

INFO MAHA 2026

-Berlangsung 28 Ogos - 8 September

-Himpun kira-kira 2,000 pempamer

-Mengangkat tema ‘Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan’

-Jangkaan 4 juta pengunjung

-Lebih 6,000 parking (percuma)