SHAH ALAM - Kerajaan digesa mengambil tindakan secara konsisten terhadap isu keselamatan negara dengan menamatkan semua hubungan serta kontrak dengan Amazon Web Services (AWS).
Gerakan Boikot, Pelaburan Semula dan Sekatan Malaysia (BDS Malaysia) berkata, langkah berkenaan perlu diambil susulan dakwaan penglibatan syarikat teknologi itu dalam Projek Nimbus yang dikaitkan dengan Israel.
Iklan
Iklan
“AWS didakwa bersubahat dengan Israel dalam melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza menerusi penglibatannya dalam projek berkenaan.
“Oleh itu, mereka tidak sepatutnya dialu-alukan sekiranya kerajaan benar-benar berpegang pada pendirian untuk memperjuangkan pembebasan Palestin,” menurut kenyataan itu pada Khamis.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kerajaan memutuskan untuk melarang semua penjawat awam menggunakan aplikasi navigasi Waze bagi melindungi maklumat kerajaan serta data peribadi pengguna daripada ancaman penyalahgunaan oleh rejim Israel.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyarankan seluruh rakyat Malaysia menghentikan kebergantungan terhadap aplikasi tersebut demi jaminan perlindungan data peribadi yang lebih kukuh.
BDS Malaysia berpandangan arahan larangan penggunaan Waze merupakan langkah tepat bagi mengelakkan keselamatan negara dan kedaulatan negara daripada dicabuli.