KUALA LUMPUR - Perjalanan beberapa kumpulan rakyat Malaysia yang dilaporkan gagal dihubungi di kawasan Nepal-Tibet bukan sekadar aktiviti pelancongan atau pendakian, sebaliknya merupakan sebahagian daripada perjalanan keagamaan ke Gunung Kailash yang dianggap suci oleh penganut Hindu.
Wakil keluarga rakyat Malaysia yang gagal dihubungi, Ts Dr Manivannan Rethinam berkata, sebahagian rakyat Malaysia yang terlibat dalam perjalanan tersebut merupakan penganut Hindu yang mengikuti ziarah keagamaan ke kawasan Gunung Kailash.
Menurutnya, perjalanan itu mempunyai nilai spiritual yang sangat tinggi dalam kalangan penganut agama berkenaan.
“Gunung Kailash dianggap sebagai tempat yang suci bagi penganut Hindu. Jadi, ini merupakan satu perjalanan keagamaan. Jika bagi orang Islam ada ibadah umrah dan haji, begitulah gambaran perjalanan mereka ke sana.
“Memang terdapat banyak lokasi ibadat yang dianggap suci, tetapi Gunung Kailash merupakan antara destinasi yang menjadi tumpuan penganut Hindu,” katanya pada sidang akhbar Malaysia Solidarity: Families in Hope (MASFIH) atau Solidariti Malaysia: Famili Dalam Harapan di sini pada Sabtu.
Manivannan berkata, perjalanan ke kawasan berkenaan bukan sesuatu yang mudah kerana peserta perlu melalui kawasan pergunungan pada altitud tinggi dengan paras oksigen yang rendah, selain perlu berjalan kaki dalam jarak yang jauh.
Katanya, kumpulan terbabit perlu menempuh perjalanan kira-kira 10 kilometer sehari dan ketika insiden berlaku, mereka masih belum mencapai satu pertiga daripada keseluruhan perjalanan.
“Walaupun tanpa berlaku bencana, perjalanan ke sana memang bukan sesuatu yang mudah. Saya sendiri pernah ke sana dan mengetahui cabaran yang perlu dilalui.
“Kawasan itu merupakan kawasan pergunungan dengan paras oksigen yang sangat rendah dan peserta perlu melakukan trekking kira-kira 10 kilometer setiap hari. Kemudahan juga sangat terhad sepanjang perjalanan,” katanya.
Beliau berkata, perjalanan kumpulan itu bermula dari Kathmandu pada Selasa sebelum menaiki bas selama kira-kira lapan jam ke Rasuagadhi yang terletak berhampiran sempadan Nepal-China.
Menurutnya, mereka bermalam di kawasan tersebut sebelum meneruskan perjalanan ke Tibet, China.
“Mereka bergerak dari Kathmandu pada jam 7 pagi dan menaiki bas selama lapan jam sebelum tiba di Rasuagadhi.
“Mereka bermalam di sana terlebih dahulu kerana mahu menjadi antara kumpulan terawal memasuki kawasan sempadan memandangkan proses imigresen biasanya mengambil masa antara dua hingga tiga jam,” katanya.
Manivannan berkata, semua peserta perlu melalui pemeriksaan keselamatan yang ketat sebelum memasuki Tibet, termasuk pemeriksaan telefon bimbit, aplikasi komunikasi, beg dan barangan peribadi.
“Mereka akan diperiksa secara individu. Telefon bimbit, aplikasi yang digunakan, beg dan barangan peribadi turut diperiksa sebelum dibenarkan memasuki kawasan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan kawasan Gunung Kailash lazimnya ditutup kepada pengunjung ketika musim salji berikutan keadaan cuaca yang ekstrem.
Katanya, kawasan itu kebiasaannya dibuka semula sekitar April selepas ditutup beberapa bulan, namun suhu dan keadaan cuaca masih mencabar.
“Setiap tahun tempat itu akan ditutup pada musim salji kerana salji terlalu tebal. Kalau tidak silap, ia ditutup sehingga sekitar Mac dan mula dibuka semula pada April.
“Bagaimanapun, sepanjang Mac dan April, keadaan masih sejuk kerana kawasan itu berada pada altitud yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata, bentuk muka bumi yang mencabar serta faktor cuaca menjadikan perjalanan ke Gunung Kailash memerlukan persediaan fizikal dan mental yang rapi daripada setiap peserta.