KOTA KINABALU - Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mengumumkan pelantikan 25 Ketua Bahagian (Penaja) baharu melalui penstrukturan semula bahagian mengikut kawasan Parlimen.
Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penstrukturan dan pelantikan tersebut merupakan satu langkah penting untuk memperkukuh struktur organisasi serta memperkasa kepimpinan parti di peringkat bahagian.
"Pelantikan ini menampilkan satu barisan kepimpinan yang menggabungkan pemimpin senior yang berpengalaman, tokoh muda yang bertenaga serta beberapa muka baharu yang mempunyai latar belakang, kepakaran dan pengalaman dalam pelbagai bidang.
"Gabungan ini juga mencerminkan kesungguhan Gagasan Rakyat untuk membina barisan kepimpinan yang lebih dinamik, inklusif dan dekat dengan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Sabtu.
Menurut Hajiji, pemilihan 25 Ketua Bahagian (Penaja) itu dibuat setelah mengambil kira faktor pengalaman, kemampuan memimpin, rekod khidmat kepada masyarakat, penerimaan di peringkat akar umbi serta keupayaan untuk menggerakkan organisasi secara berkesan dan efektif.
"Pelantikan ini bukan sekadar pengisian jawatan, sebaliknya merupakan sebahagian daripada usaha membina kepimpinan merentas generasi yang mampu bergerak seiring dalam menghadapi cabaran politik dan tuntutan masyarakat semasa.
"Kita mahu membina satu pasukan yang menggabungkan pengalaman dengan tenaga baharu. Pemimpin senior mempunyai pengalaman dan kebijaksanaan yang sangat bernilai, manakala pemimpin muda dan muka baharu membawa perspektif serta idea yang segar.
"Gabungan ini penting supaya organisasi kita tidak hanya kukuh dari segi pengalaman, tetapi juga sentiasa bersedia melakukan pembaharuan dan bergerak mengikut perkembangan semasa," katanya.
Beliau berkata, Ketua Bahagian (Penaja) yang dilantik mempunyai tanggungjawab besar untuk memperkemas organisasi, memperkukuh jaringan akar umbi dan memastikan parti sentiasa membawa aspirasi serta dekat dengan rakyat.
Selain itu, pelantikan berkenaan akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh struktur bahagian, memperluaskan keahlian, menggerakkan aktiviti di peringkat akar umbi serta membentuk pasukan kepimpinan yang berkesan di setiap kawasan.
Hajiji yang juga Ketua Menteri dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan bahawa kekuatan sesebuah organisasi bukan hanya bergantung kepada individu yang memimpin, tetapi kepada kerjasama seluruh pasukan serta keupayaan kepimpinan bahagian menterjemahkan agenda parti dalam bentuk khidmat yang dirasai masyarakat.
"Kita mahu setiap bahagian menjadi organisasi yang hidup, aktif dan benar-benar memahami denyut nadi rakyat.
"Ketua Bahagian bukan sekadar memegang jawatan, tetapi memikul amanah untuk membina organisasi, menyatukan ahli dan membawa suara masyarakat ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.
Menurutnya, pelantikan itu diharapkan menjadi titik tolak kepada pembentukan satu saf kepimpinan baharu yang lebih kukuh, tersusun dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada kesemua 25 Ketua Bahagian (Penaja) yang dilantik dan berharap mereka dapat melaksanakan amanah dengan penuh integriti, komitmen dan semangat berpasukan demi kepentingan parti dan rakyat.