Negeri perlu wujudkan yayasan, bantu masjid keluar dari zon selesa

Iklan
Kira-kira 400 perwakilan masjid dari Malaysia dan negara-negara serantau hadir mengikuti Persidangan Masjid Serantau 2026 yang berlangsung selama dua hari di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru Raya di sini.

IPOH - Setiap negeri disaran mewujudkan Yayasan Masjid sebagai langkah strategik membantu institusi ibadah itu keluar daripada zon selesa dan bergerak sebagai pusat pembangunan ummah yang lebih menyeluruh.

Naib Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Datuk Mohd Nakhaie Ahmad berkata, Yayasan Masjid yang ditubuhkan itu perlu mempunyai kekuatan ekonomi serta keupayaan membantu pengurusan masjid secara lebih mampan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dengan itu ia boleh berperanan sebagai entiti sokongan yang membantu daripada aspek kewangan, kebajikan, pengurusan data kariah serta pengagihan bantuan kepada golongan memerlukan.

"Peranan masjid tidak wajar terhad kepada aktiviti ibadah semata-mata.

Iklan

"Masjid perlu kembali kepada fungsi asalnya sebagai pusat pembangunan tamadun Islam yang bersifat inklusif dan menyeluruh untuk segala urusan ummah," katanya kepada Sinar Harian di sini lada Sabtu.

Persidangan Masjid Serantau 2026 yang berlangsung selama dua hari di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru Raya di sini.

Iklan

Cadangan itu antara yang diketengahkan dalam Persidangan Masjid Serantau 2026 yang menghimpunkan kira-kira 400 perwakilan masjid dari Malaysia dan negara-negara serantau di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru Raya di sini.

Persidangan selama dua hari anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) itu bersempena Hari Masjid Sedunia dengan penyertaan negara seperti Indonesia, Singapura, Brunei, Timor-Leste, Myanmar, Kemboja, Thailand, Vietnam, Turkiye, Iran dan Pakistan.

Selain pengukuhan jaringan, persidangan itu memberi tumpuan kepada usaha memperkasa peranan masjid dalam pembangunan ummah, kebajikan masyarakat serta isu kemanusiaan global khususnya Palestin dan Masjid Al-Aqsa.

Mohd Nakhaie berkata, pengurusan masjid yang sistematik berpotensi menjadi pusat data komuniti yang lengkap merangkumi maklumat asnaf, pembayar zakat, golongan memerlukan serta aspek keselamatan setempat.

“Apabila ada data yang lengkap, masjid boleh bantu kenal pasti siapa yang layak bayar zakat dan siapa yang perlu dibantu,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar masjid dijadikan pusat pengurusan konflik komuniti seperti isu kekeluargaan dan sosial pada peringkat kariah, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada saluran luar.

Menurutnya, pendekatan itu memerlukan kepimpinan masjid yang berwibawa, berilmu dan mempunyai kapasiti untuk mentadbir komuniti secara berkesan.

"Dalam hal ini, perubahan struktur pengurusan masjid perlu seiring dengan perubahan mentaliti supaya institusi itu tidak kekal dalam kerangka lama," katanya.

Sementara itu, panel forum dari Thailand, Waeromlee Waebulat berkata, masjid di Selatan Thailand berperanan sebagai pusat penyatuan komuniti dalam berdepan cabaran ekonomi, sosial dan isu perpecahan masyarakat.

Beliau berkata, pendekatan melalui Majlis Syura di peringkat kampung yang berpusat di masjid mampu mengembalikan kekuatan komuniti setempat dalam menyelesaikan pelbagai masalah.

Pengalamannya selaku Pengerusi Yayasan Jaringan Kampung Taqwa yang menggerakkan lebih 200 kampung menunjukkan masjid mampu menjadi platform penyatuan jika semua pihak kembali kepada semangat muafakat.

"Masjid boleh jadi pusat kampung, tempat bincang masalah dan cari jalan penyelesaian bersama," katanya.

Sementara itu, panel forum dari Singapura, Suhaili Sulong pula menekankan kepentingan transformasi pengurusan masjid melalui pendekatan Smart Mosque yang menggabungkan teknologi dan sistem pentadbiran moden.

Jelasnya, masjid perlu diurus secara lebih sistematik dengan penggunaan teknologi seperti pengurusan zakat digital, sistem data jemaah serta integrasi komunikasi media sosial.

Beliau turut menegaskan keperluan adanya unit khas di peringkat pentadbiran agama bagi memastikan setiap perancangan pengurusan masjid dilaksanakan secara berterusan dan berkesan.

"Sepertimana kandungan yang diperolehi dalam persidangan ini, tanpa struktur dan susulan yang jelas, banyak idea dan resolusi persidangan hanya kekal sebagai wacana tanpa pelaksanaan.

"Kalau tiada tindakan susulan, kita hanya akan ulang seminar yang sama tanpa perubahan katanya.

Persidangan itu dijangka merumuskan satu resolusi dan deklarasi bersama bagi memperkukuh jaringan masjid serantau serta memperkasakan peranan institusi masjid sebagai nadi pembangunan ummah di peringkat global.