'Saya bayangkan dia masih berada di kawasan pergunungan' - Isteri Muhamad Nasir

Iklan
Jamaliah

KUALA LUMPUR - “Saya sekarang membayangkan dia berada di suatu tempat di kawasan pergunungan.”

Demikian luahan isteri kepada Muhamad Nasir Abdul Talib, 68, Jamaliah Tengku Ismail, 67, yang masih berharap suaminya dan anggota kumpulan lain sempat menyelamatkan diri sebelum kenderaan yang dinaiki mereka dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir kilat di kawasan Nepal-Tibet.

Iklan
Iklan

Menurut Jamaliah, kemungkinan itu timbul selepas dia melihat rakaman keadaan arus sungai di kawasan berkenaan, selain percaya anggota kumpulan tersebut mungkin sempat keluar daripada kenderaan dan bergerak ke kawasan pergunungan untuk menyelamatkan diri.

“Kalau tengok rakaman arus itu, air banyak di sungai dan ruang-ruang tertentu, jadi mungkin mereka sempat keluar daripada kenderaan dan pergi ke kawasan gunung.

Iklan

“Tetapi kita tidak tahu laluan mana yang mereka lalui,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar Malaysia Solidarity: Families in Hope (MASFIH) atau Solidariti Malaysia: Famili Dalam Harapan, di sini pada Sabtu.

Jamaliah berkata, dia masih berpegang kepada harapan selagi tiada maklumat lain mengenai nasib suaminya dan anggota kumpulan berkenaan.

Iklan

Katanya, walaupun tempoh kehilangan yang semakin panjang menimbulkan kebimbangan, beliau cuba kekal positif dengan membayangkan suaminya berada di lokasi yang selamat.

“Saya berharap, selagi kita tidak ada berita lain, bagi saya kalau tidak ada berita, masih ada harapan.

“Saya sekarang membayangkan dia berada di suatu tempat di kawasan pergunungan,” katanya.

Menurutnya, suaminya bersama kumpulan berkenaan bertolak dari hotel berhampiran Manang kira-kira jam 3.30 pagi waktu Nepal untuk menuju ke sempadan Nepal-Tibet.

Katanya, mereka menggunakan jip kerana mahu tiba lebih awal berikutan kawasan sempadan berkenaan sering sesak.

“Mereka memang mahu bergegas kerana sempadan itu sangat sesak. Kalau tersilap masa, ia akan ditutup dan mereka mungkin terpaksa bermalam di situ.

“Mereka menjangkakan cuaca baik dan mahu sampai sebelum petang,” katanya.

Jamaliah berkata, lokasi terakhir kumpulan itu dikesan ialah di Yala Cafe kira-kira jam 7 pagi waktu Nepal sebelum kejadian banjir kilat berlaku kira-kira sejam kemudian.

Katanya, seorang anggota kumpulan sempat menghubungi isterinya ketika berada di kafe tersebut dan memaklumkan mereka sedang bersarapan.

“Ada yang menelefon isteri dan memberitahu mereka sedang bersarapan di kafe itu, kemudian seorang lagi menghantar gambar kira-kira 10 minit sebelum kejadian.

“Gambar itu menunjukkan mereka dalam perjalanan, jadi mungkin mereka sudah bergerak dari kafe,” katanya.

Dalam pada itu, Jamaliah berkata, suaminya bukan seorang yang gemar mendaki gunung dan menyertai perjalanan tersebut bersama rakan-rakannya sekadar untuk menikmati pemandangan.

“Dia pertama kali ikut kawan-kawan. Dia bukan orang yang suka mendaki gunung, dia cuma mahu melihat pemandangan, sebab itu dia naik jip.

“Dia memang suka melancong dan ke tempat-tempat mencabar, tetapi perjalanan ini dirancang bersama kumpulan itu sejak kira-kira enam bulan lalu,” katanya.

Menurut Jamaliah, kumpulan berkenaan turut disertai dua anggota bomba berpengalaman yang berperanan sebagai jurulatih dalam kemahiran kelangsungan hidup.

“Saya percaya kumpulan itu pergi bersama orang yang berpengalaman. Kalau mereka berada di tempat yang selamat, saya yakin mereka boleh lalui keadaan itu.

“Dua orang anggota bomba itu memang jurulatih berkaitan cara untuk terus hidup. Mereka boleh mengajar yang lain, termasuk suami saya yang tidak mempunyai pengalaman, bagaimana hendak menghadapi keadaan seperti itu,” katanya.

Dia turut berharap operasi mencari dan menyelamat dipergiatkan dengan memberi tumpuan kepada kawasan yang paling berpotensi menjadi lokasi kumpulan berkenaan.

“Saya harap mereka benar-benar fokus kepada kawasan yang paling berkemungkinan. Kita perlu bincang kawasan mana yang paling sesuai untuk diberi tumpuan.

“Kalau pencarian dibuat di tempat lain, itu yang saya rasa boleh melambatkan usaha mencari,” katanya.

Muhamad Nasir merupakan antara 49 rakyat Malaysia yang dilaporkan masih gagal dihubungi susulan kejadian banjir kilat dan ribut yang melanda kawasan Nepal-Tibet.