Lelaki pura-pura terjatuh ada masalah mental

Iklan
Rakaman mendapati lelaki warga asing didapati pura-pura jatuh di tengah jalan di Jejambat Batu Lanchang. Gambar kecil: Abdul Rozak

GEORGE TOWN – Lelaki warga asing yang tular selepas video memaparkan dia tiba-tiba terjatuh di tengah jalan Jejambat Batu Lanchang di sini pada Jumaat, dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya mengesan video berdurasi 22 saat berhubung kejadian itu yang tular di media sosial pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 4.16 petang Jumaat di atas jalan Jejambat Batu Lanchang.

“Hasil siasatan mendapati lelaki terbabit merupakan seorang warga asing yang dipercayai warganegara Myanmar dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Iklan

“Individu berkenaan sebelum itu telah ditangkap polis berhubung satu kes pencerobohan rumah yang dilaporkan di Jalan Kurau, Jelutong,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental.

Iklan

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut,” tambahnya lagi.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi tidak berasas berkaitan video berkenaan yang boleh menimbulkan kegusaran kepada pengguna jalan raya," katanya.