BUKIT MERTAJAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan bahawa beliau menyokong kegiatan perjudian, sebaliknya menegaskan kerajaan pimpinannya telah mengurangkan jumlah cabutan nombor ramalan daripada 22 kepada lapan kali setahun.
Beliau berkata, pihak yang mengkritik kerajaan berhubung isu berkenaan perlu melihat rekod pentadbiran terdahulu yang melaksanakan jumlah cabutan lebih tinggi.
“Orang kata, ‘Oh, Anwar ini tauke judi.’ Saya tak judi. Saya tak sokong orang judi.
“Dulu judi, sebelum saya jadi Perdana Menteri, masa kerajaan dulu perintah, kena faham ini. Kerajaan dulu, semua parti dululah. Berapa cabutan setahun? 22 kali,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Skim Usahawan Bangkit Permatang Pauh di Dewan Yayasan Aman Penanti, Kubang Semang di sini pada Sabtu.
Anwar berkata, selepas mengambil alih pentadbiran kerajaan, beliau mengambil langkah menurunkan jumlah cabutan berkenaan secara berperingkat.
“Ketika zaman saya, batal semua. Saya buat peringkat. Saya turun daripada 22, jadi lapan kali.
“Kamu nak maki saya pasal apa? Masa kamu perintah dulu 22 kali. Masa saya perintah, saya turunkan lapan kali,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui langkah tersebut masih belum dianggap mencukupi oleh sesetengah pihak.
“Cukup? Belum cukup. Baik? Belum baik. Tapi untuk kamu serang saya, kamu cermin dulu. Kamu buat dulu 22 kali. Saya turunkan,” katanya.
Anwar menambah, perkara berkenaan dijadikan contoh supaya masyarakat menilai sesuatu isu secara lebih menyeluruh dan tidak membuat tuduhan hanya berdasarkan persepsi.
“Jadi, ini sebagai contohlah, bukan nak marah orang Permatang Pauh pula. Saya nak cerita saja,” katanya.
Untuk rekod, jumlah cabutan khas judi nombor ramalan di Malaysia ditetapkan sebanyak lapan kali setahun di bawah pentadbiran Kerajaan Madani bermula 1 Januari 2023, berbanding 22 kali sebelum ini.
Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor didakwa mendoakan perkara buruk terhadap Anwar dalam ceramah bertajuk Halangan Pengharaman Judi di Kedah yang diadakan di Dewan Seri Mentaloon pada Selasa lalu.
Dalam pada itu, Anwar mengingatkan semua pihak supaya tidak mudah melupakan usaha kerajaan dalam menjaga kepentingan negara termasuk ketika berdepan isu antarabangsa seperti konflik dan peperangan.
Beliau berkata, hubungan baik Malaysia dengan negara lain turut memperlihatkan kepercayaan dan penghormatan yang diberikan kepada negara, termasuk apabila Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif serta beberapa ulama besar dunia mengambil berat mengenai keadaan kesihatannya.
“Kita jaga negara dengan baik maka orang pun baik dengan kita.
"Saya baru-baru ini ada jadi sikitlah (masalah kesihatan), tetapi baru-baru ini mereka (doa) suruh bagi pecah perut itu. Ya ALLAH. Tapi tengok kawan-kawan luar, Perdana Menteri Pakistan telefon saya tanya, ‘Anwar ok, saya jawab, ok’.
“Sheikhul Azhar, ulama besar dunia telefon saya, dia kata, ‘Anwar, saya nak doa sikit untuk kesihatan kamu’. Tak terharu saya? Terharu kerana banyak orang yang baik,” katanya.
Anwar menambah, masyarakat perlu sentiasa yakin bahawa masih ramai individu yang baik di dunia dan masing-masing perlu berusaha membantu sedaya upaya berdasarkan kemampuan.
Beliau turut menyeru rakyat supaya menjaga keluarga, memberi perhatian kepada pendidikan anak-anak serta melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan sebaik mungkin.
“Saya hargai sangat-sangat dan tekunlah. Jaga anak-pinak kita, keluarga kita dan kerja lah dengan baik.
“Kerja saya, bantu sedaya upaya. Kerja saudara-saudari, jayakan program. Untung sikit, jangan boros macam itu saja. Cermat betul-betul.
“Ada wang lebih, tengok pendidikan anak-anak. Kalau kita saja berjaya, anak-anak tak baca buku, tak jalan juga,” katanya.
Menurutnya, usaha membangunkan masyarakat perlu disertai doa dan tawakal kepada ALLAH SWT selepas segala ikhtiar dilakukan.
“Jadi jayakanlah masyarakat kita ini dengan ikhtiar kita dan doa kepada ALLAH SWT dan tawakal kepada-Nya.
“Kita boleh ikhtiar, tapi ingat, Quran jelaskan, ‘Fatawakkal ‘alallah’, tawakal kepada ALLAH. Sebab apa? ‘Innallaha yuhibbul mutawakkilin’. ALLAH itu kasih orang yang tawakal kepada-Nya,” katanya lagi.