KEMAMAN - Kerajaan didesak memantapkan kawalan sempadan serta melaksanakan penguatkuasaan dasar imigresen secara lebih tegas dan konsisten berhubung isu keberadaan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta pelarian di negara ini.
Ketua Dewan Pemuda Pas Kawasan Kemaman (DPPKK), Dasuki Tahir berkata, isu PATI bukan sekadar perkara remeh, sebaliknya melibatkan aspek keselamatan negara, kawalan sempadan, peluang pekerjaan, tekanan terhadap kemudahan awam serta ketenteraman masyarakat tempatan yang perlu diberi perhatian serius.
"Kita berhimpun bukan kerana kebencian kepada mana-mana bangsa, tetapi mahu menyatakan pendirian jelas bahawa Malaysia adalah negara berdaulat dan undang-undang mesti dihormati.
"Rakyat Malaysia bekerja keras mencari rezeki, membayar cukai dan mematuhi undang-undang. Maka rakyat berhak bertanya sejauh mana ketegasan sistem imigresen dan kawalan sempadan kita ketika ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Aman 'Kemaman Bebas PATI' di Dataran Astaka, Chukai di sini pada Jumaat.
Mengulas mengenai komuniti pelarian termasuk etnik Rohingya, Dasuki menegaskan bahawa prinsip kemanusiaan dan simpati tidak bermakna kawalan imigresen boleh dilonggarkan sehingga membelakangkan undang-undang.
Katanya, Malaysia tidak sepatutnya memikul beban isu pelarian dunia tanpa had dan tanpa pemilikan dasar yang jelas.
"Kemanusiaan tidak bermaksud undang-undang diketepikan. Kita bukan mahu Malaysia menjadi negara zalim, tetapi kita juga tidak mahu negara ini dilihat lemah dalam menguatkuasakan undang-undang sendiri.
"Kita mahu kerajaan yang mampu membantu mereka yang memerlukan, tetapi pada masa sama sentiasa menjaga hak, keselamatan dan kepentingan rakyat Malaysia," katanya.
Sehubungan itu, katanya, beliau mengemukakan enam tuntutan utama kepada kerajaan demi memastikan penyelesaian isu imigresen dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
Katanya, tuntutan berkenaan merangkumi desakan memperketat kawalan sempadan negara serta memastikan seluruh warga asing dikenal pasti, didaftarkan dan disaring mengikut saluran undang-undang.
"Pihak penguat kuasa turut digesa mengambil tindakan tegas terhadap sindiket penyeludupan manusia serta majikan yang menggaji pekerja tanpa dokumen sah.
"Kerajaan juga perlu mempunyai pelan jangka panjang yang jelas berhubung kedudukan PATI dan pelarian, di samping memastikan sebarang proses penghantaran pulang dibuat berdasarkan penilaian keselamatan serta prosedur undang-undang yang sewajarnya," ujarnya lagi.