KEKALAHAN 0-3 kepada Selangor FC pada aksi kedua Liga Super menjadi pengajaran berguna buat Terengganu FC (TFC) untuk memperkemaskan kelemahan dan kembali bangkit dalam saingan akan datang.
Pengendali TFC, Nafuzi Zain berkata, kesilapan dilakukan pemain pada babak kedua menjadi punca skuadnya dihukum Red Giants, sekali gus menuntut anak buahnya meningkatkan fokus serta memperbaiki corak permainan.
"Pada babak pertama kita mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol walaupun pemain tidak beraksi seperti mana yang diharapkan.
"Tapi kesungguhan yang diperagakan pemain menyaksikan perlawanan pada separuh masa pertama terikat tanpa jaringan, ia keputusan yang seimbang bagi kedua-dua pasukan.
"Bagaimanapun perubahan permainan pada babak kedua dengan aksi lebih agresif mengundang kesilapan yang dilakukan pemain sehingga memberikan lawan jaringan, tapi kita tetap mempunyai peluang untuk menjaringkan gol," katanya.
Menurut bekas pengendali skuad kebangsaan bawah 23 tahun itu, kekalahan tersebut memberi banyak ruang untuk pasukannya melakukan penambahbaikan, terutama membabitkan skuad yang masih dalam proses pembentukan.
"Malam ini (malam tadi) kita tewas kepada pasukan yang lebih bagus, daripada perlawanan itu banyak perkara yang kita pelajari untuk lebih meningkatkan lagi corak permainan terutama pasukan baru dibentuk dan sudah pasti memerlukan masa.
"Tapi saya yakin dengan kualiti pemain yang ada dan pasukan ini mampu lebih baik lagi selepas ini," katanya.
Pada aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak itu, Selangor memastikan kemenangan menerusi dua jaringan Chrigor Moraes dan satu gol Kay Tejan, semuanya terhasil pada babak kedua.