KEMAMAN - Pemimpin UMNO dan Pas mengetepikan perbezaan politik apabila berganding bahu bersama lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menyerahkan memorandum membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi Himpunan Aman 'Kemaman Bebas PATI' di Dataran Astaka, Chukai di sini pada Jumaat.
Penyelaras program, Mohd Takiyuddin Mohd Shaffee berkata, perhimpunan yang dihadiri kira-kira 500 penduduk termasuk penglibatan pertubuhan silat, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan ketua kampung itu dianjurkan sebagai wadah meluahkan keresahan awam mengikut saluran undang-undang.
Menurutnya, penganjuran himpunan itu tercetus susulan kes jenayah melibatkan suspek pelarian Myanmar terhadap seorang wanita orang kurang upaya (OKU) tempatan baru-baru ini yang mencalar emosi rakyat dan menjadi tumpuan di media sosial.
"Hasil perbincangan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), kita dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri yang melanggar undang-undang.
"Sebab itu kita pilih saluran betul dengan menganjurkan himpunan aman ini dan merangka lebih 20 syor untuk diserahkan kepada pihak berkuasa serta Kementerian Dalam Negeri (KDN)," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi himpunan di sini pada Jumaat.
Jelas Mohd Takiyuddin, memorandum berkenaan dikemukakan bagi menyuarakan kebimbangan penduduk daerah Kemaman berhubung kehadiran PATI, khususnya warga Rohingya yang dipercayai semakin ketara di beberapa kawasan dalam daerah tersebut.
Beliau memaklumkan, hasil perbincangan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Exco Kerajaan Negeri, isu berkenaan turut dipersetujui untuk dibawa ke peringkat Majlis Raja-Raja bagi tindakan susulan.
"Menerusi memorandum ini, penduduk memohon pihak kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), PDRM serta agensi berkaitan meningkatkan operasi pemeriksaan, pengesanan dan tindakan tegas terhadap mana-mana individu tanpa dokumen atau permit sah.
"Pada masa sama, kita mohon agar status dan keadaan penempatan warga Rohingya serta warga asing lain disemak secara menyeluruh bagi memastikan undang-undang yang berkuat kuasa terus dipatuhi," katanya.
Mengulas kandungan memorandum tersebut, Mohd Takiyuddin memberitahu cadangan utama dikemukakan adalah pembentukan sebuah Jawatankuasa Pemantau Khas di bawah pengawasan pihak polis.
Jelas beliau, jawatankuasa itu penting bagi membolehkan wakil masyarakat menyalurkan maklumat serta melakukan semakan status dokumen penempatan atau sewaan asing secara sah.
"Sekarang ini kita tiada hak untuk periksa dokumen mereka. Jadi dengan adanya jawatankuasa khas yang mendapat kebenaran, sekurang-kurangnya pemeriksaan boleh dibuat mengikut undang-undang sebelum diserahkan kepada polis.
"Kita juga bersedia untuk menjaga sebarang kerahsiaan dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Takiyuddin menggesa seluruh penduduk Kemaman agar mengambil bahagian secara serius dalam menandatangani petisyen desakan yang sedang digerakkan pihaknya.
Beliau memohon masyarakat tempatan tidak memandang remeh usaha berkenaan kerana sokongan rakyat amat diperlukan bagi memastikan tindakan tegas dapat diambil oleh pihak berkuasa.
"Petisyen itu kita dah sebar seminggu lepas melalui media sosial seperti Facebook dalam kumpulan Bandar Chukai dan Kemaman, TikTok, WhatsApp, serta pengedaran risalah berkod QR hari ini.
"Penduduk Kemaman ada lebih 200,000 orang dengan 120,000 pengundi. Kalau setakat 1,000 orang sahaja yang isi petisyen, tiada sebarang tindakan akan diambil oleh kerajaan atau pihak berkuasa kerana ia nampak lemah.
"Masalah ini berpunca daripada sikap rakyat kita sendiri yang menganggap benda ini main-main. Sepatutnya sokongan petisyen ini sudah melonjak naik di semua platform," ujar beliau.