Jangan biarkan politik perpecahan menjajah masa depan kita

Iklan
Rakyat perlu berani bersatu-padu menentang retorik politik dan membina semula sebuah Malaysia yang benar-benar makmur untuk semua.

SETIAP kali Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia, ramai daripada generasi saya dan ibu bapa saya mengimbau kembali dengan penuh bangga jasa pengasas negara kita.

Namun 31 Ogos 1957 dan 16 September 1963 bukan sekadar hari untuk kita mengenang kemerdekaan dan pembentukan Malaysia. Ia juga masa untuk kita bertanya satu soalan penting: Malaysia seperti apakah yang ingin kita bina?

Iklan
Iklan

Hampir tujuh dekad selepas kemerdekaan dan enam dekad selepas Hari Malaysia, negara kita sudah jauh berubah. Dengan lebih 34 juta penduduk, kita kini sebuah negara perindustrian dan perdagangan yang memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan semikonduktor global.

Rakyat Malaysia juga semakin berpendidikan dan berkemahiran. Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menganggarkan Malaysia mempunyai hampir enam juta graduan universiti pada 2024. Kadar pengangguran graduan pula telah menurun kepada sekitar 3.2 peratus.

Iklan

Generasi sebelum kita membawa Malaysia jauh ke hadapan, membina institusi, menubuhkan universiti, mengembangkan industri dan mencipta peluang yang suatu ketika dahulu sukar dibayangkan. Hari ini, rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum berjaya dalam hampir setiap bidang.

Kita seharusnya lebih yakin dengan kemajuan tersebut. Tetapi mengapa politik kita masih terperangkap dalam kegusaran masa lampau? Jawapannya: ketakutan – satu faktor yang amat mudah untuk dimainkan.

Iklan

Apabila rakyat bimbang tentang masa depan ekonomi mereka, lebih mudah untuk menyalahkan pihak lain dan meyakinkan mereka bahawa politik identiti akan melindungi kepentingan mereka.

Yang mana lebih mudah? Mencipta ancaman atau meningkatkan produktiviti? Mencari musuh atau mencipta pekerjaan yang lebih baik? Membina kegusaran atau membuktikan apa yang mampu dicapai oleh rakyat Malaysia?

Kita tidak sepatutnya membiarkan ahli politik yang tidak bertanggungjawab terus memainkan rasa takut dan kegusaran rakyat. Pemimpin politik yang ikhlas dan bertanggunjawab sepatutnya membina keyakinan rakyat terhadap masa depan, bukan memerangkap mereka dalam ketakutan. Generasi muda Malaysia, khususnya mesti menolak politik perpecahan ini.

Penolakan politik sebegini tidak akan mengurangkan kemelayuan atau ‘kebumiputeraan’ kita. Ia juga tidak akan ‘mengurangkan’ identiti Cina, India, Iban, Bidayuh, Kadazan-Dusun, Murut atau apa-apa jua kumpulan etnik lain. Sebaliknya, kita harus cukup yakin untuk menyedari bahawa identiti orang lain tidak mengancam siapa diri kita.

Kaum Melayu dan bumiputera perlu sedar bahawa banyak kemajuan yang telah kita capai. Penyertaan mereka dalam universiti dan bidang profesional, keusahawanan, kerajaan, perniagaan dan teknologi berkembang dengan pesat sepanjang beberapa dekad lalu.

Memang masih wujud ketidaksamaan yang perlu ditangani. Tetapi cabaran ini tidak boleh diselesaikan dengan memupuk rasa tidak puas hati berasaskan politik perkauman. Sebagai kaum majoriti, kaum Melayu dan bumiputera sepatutnya sudah cukup yakin dengan keupayaan kita sendiri. Kita mampu berdepan cabaran dunia dengan keyakinan, bukan dengan rasa takut.

Keyakinan yang sama juga harus dirasai rakyat Cina, India, Sabah dan Sarawak: Malaysia juga tanah air mereka. Inilah Malaysia yang harus kita bina. Cabaran yang bakal dihadapi oleh generasi akan datang tidak mengenal kaum.

Kecerdasan buatan akan mengubah landskap pekerjaan. Perubahan iklim memberi kesan kepada setiap isi rumah. Peralihan tenaga akan mengubah pelbagai industri. Rantaian bekalan global sedang disusun semula. Kuasa-kuasa besar dunia sedang bersaing untuk mendapatkan teknologi, pelaburan dan bakat.

Walaupun kita kini mempunyai lebih 16 juta pekerja, cabaran sebenar adalah untuk mencipta pekerjaan cukup produktif, berkemahiran dan bergaji lumayan untuk generasi akan datang. Gaji median pekerja sektor formal Malaysia hanya lebih kurang RM3,000 sebulan – angka yang masih rendah untuk menyumbang kepada kapasiti fiskal negara. Jurang pendapatan pula semakin melebar.

Inilah isu-isu yang sewajarnya menjadi tumpuan politik kita. Apa yang benar-benar perlu kita capai ialah mobiliti sosial. Segulung ijazah sahaja tidak lagi mencukupi. Ijazah tidak banyak ertinya jika graduan muda masih terperangkap dengan gaji rendah atau tidak mendapat pekerjaan setimpal kemahiran mereka.

Sejak sekian lama, pendidikan merupakan salah satu jalan utama untuk rakyat memperbaiki taraf hidup. Tetapi sistem pendidikan kita perlu dirombak seiring pasaran kerja yang pantas berubah. Pekerjaan masa depan memerlukan kemahiran baharu: literasi digital, penyelesaian masalah, kemahiran teknikal, pemikiran kritikal, kebolehsuaian, kemahiran berkomunikasi, kreativiti serta keupayaan untuk bekerja seiring dengan teknologi yang semakin canggih.

Sekolah, universiti, institusi teknikal dan vokasional serta majikan perlu bergerak seiring. Ukuran kejayaan kita sepatutnya jelas: adakah setiap generasi rakyat Malaysia, melalui pendidikan dan pekerjaan, mampu meningkatkan taraf hidup, menambah simpanan, memiliki rumah dan membina keluarga? Justeru, kerajaan harus mengutamakan mobiliti sosial serta peluasan golongan kelas pertengahan.

Keyakinan terhadap masa depan lahir apabila rakyat melihat bahawa kerja keras membuahkan hasil, pendidikan mampu membuka pintu peluang kepada semua dan asal-usul seseorang bukan penentu masa depan. Inilah yang akan menyemai harapan rakyat untuk sebuah masa depan yang lebih baik.

Jadi, antara isu-isu wajar diperdebatkan termasuk: Bagaimana kita meningkatkan gaji? Bagaimana kekayaan boleh diagih dengan lebih saksama? Bagaimana sektor pendidikan perlu dirombak bagi menghadapi ekonomi digital yang semakin berkembang?

Bagaimana produktiviti PKS Malaysia boleh dipertingkatkan? Bagaimana syarikat Malaysia boleh bersaing di peringkat antarabangsa? Bagaimana untuk memastikan setiap anak Malaysia mencapai potensi mereka sepenuhnya?

Jawapan kepada semua ini tidak akan datang daripada kaum Melayu atau bumiputera semata-mata mahupun daripada mana-mana kaum. Ia memerlukan kebijaksanaan, keazaman dan kerjasama seluruh rakyat. Hakikatnya, kepelbagaian kita merupakan satu kekuatan yang tidak dimiliki oleh banyak negara dan kita harus memanfaatkannya.

Malaysia berakar di Asia Tenggara, tetapi pada masa sama mempunyai hubungan budaya dan perdagangan yang meluas dengan hampir seluruh dunia. Dalam dunia yang semakin berpecah belah, keupayaan ini adalah satu kelebihan – seperti yang kita buktikan semasa Kepengerusian Malaysia ASEAN pada 2025. Mengapa perlu kita mensia-siakan kekuatan ini disebabkan sifat saling curiga akibat politik perpecahan?

Sumber kita yang paling bernilai adalah rakyat Malaysia sendiri, bukanlah minyak, gas mahupun hasil-hasil lain. Namun kita masih mensia-siakan bakat hanya kerana nama, negeri, agama atau bahasa yang berlainan dan dianggap ‘salah’ oleh sesetengah ahli politik.

Merdeka dan pembentukan Malaysia bersama Sabah dan Sarawak pada 1963 itu sendiri menuntut keberanian yang luar biasa. Pengasas negara kita percaya bahawa sebuah negara mampu dibina oleh pelbagai kaum. Mereka tidak semestinya bersetuju dalam semua perkara, tetapi mereka yakin kemajuan Malaysia hanya mampu dicapai melalui semangat kerjasama berbilang kaum.

Generasi kita memerlukan keberanian yang serupa – untuk bersatu menolak politik yang memecah-belahkan – inilah 'penjajah' minda masa kini yang perlu ditangani bersama.

Pendapat kita mengenai dasar dan politik mungkin berbeza. Itulah demokrasi. Tetapi ia tidak seharusnya mengalihkan perhatian kita daripada cabaran Malaysia yang terlalu besar dan dunia yang bergerak terlalu pantas untuk kita membiarkan satu lagi generasi terperangkap dalam politik identiti yang membuat kita saling takut dan curiga.

Hari ini, rakyat Malaysia memerlukan sebuah 'kemerdekaan', sebuah Hari Malaysia dan sebuah Malaysia yang berbeza. ‘Merdeka’ daripada rasa takut dan curiga yang sengaja dimainkan untuk memecah-belahkan kita – sama seperti di zaman penjajah.

Kita perlu berani bersatu-padu menentang politik perpecahan dan membina semula sebuah Malaysia yang benar-benar makmur untuk semua. Itulah yang akan mencerahkan masa depan Malaysia.

*Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)