Hilang suami selepas 22 hari bernikah, Ain pilih bangkit demi anak

Iklan
Ain memilih untuk terus mengorak melangkah dan kuat demi anaknya. Foto: TikTok ainnazs

AYER KEROH – Soal jodoh, rezeki, ajal dan maut semuanya ketentuan ALLAH SWT.

Begitulah kisah Nurul Ain, 23, yang hanya sempat menikmati kehidupan sebagai isteri selama 22 hari sebelum suaminya, Syarurazi Kaharudin, pergi buat selama-lamanya dalam kemalangan jalan raya, lima tahun lalu.

Iklan
Iklan

Pasangan itu diijabkabulkan pada 18 Oktober 2021. Namun kebahagiaan yang baru berputik itu berakhir dengan tragedi apabila Syarurazi maut selepas dilanggar sebuah kenderaan ketika cuba membantu mangsa kemalangan lain pada 10 November 2021 ketika dalam perjalanan dari Sungai Rambai menuju ke restoran mereka di Bukit Katil.

Lebih memilukan, Ain menyaksikan sendiri suaminya tercampak dua kali sebelum terjatuh di bawah bukit di tepi jalan dan terpaksa menerima hakikat paling pahit apabila suaminya menghembuskan nafas terakhir di pangkuannya sebelum sempat dibawa ke hospital.

Iklan
Nurul Ain hanya sempat menikmati kehidupan sebagai isteri selama 22 hari sebelum suaminya, Syarurazi, pergi buat selama-lamanya dalam kemalangan, lima tahun lalu. Foto: TikTok ainnazs

Dalam kesedihan menghadapi kehilangan suami pada usia yang masih muda, Ain melakukan ujian kehamilan selepas mula mengalami sakit perut dan mendapati dirinya berbadan dua.

“Tak henti-henti saya mengucap syukur kepada ALLAH. Dia ambil suami saya, kemudian digantikan dengan zuriat kami.

Iklan

“Bayi inilah yang menyebabkan saya kuat. Saya kena ada untuknya kerana sayalah ibu dan sayalah bapa kepadanya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Ain selamat melahirkan seorang bayi lelaki pada 18 Jun dan anak itu sudah berusia empat tahun.

Kini, selepas beberapa tahun berlalu, Ain mengakui kehidupannya banyak berubah, ada ketika dia berasa kuat, namun ada juga masa kenangan lama kembali mengusik perasaan.

“Memang ada masa saya rasa kuat dan ada masa saya masih teringat serta sedih dengan apa yang berlaku.

“Saya percaya ALLAH lebih tahu apa yang terbaik untuk saya,” katanya.

Dalam masa sama, Ain masih meneruskan kehidupan dengan berniaga bagi menyara keluarga daripada mengusahakan restoran kini dia memilih berniaga secara kecil-kecilan di bawah khemah dengan menjual nasi kukus ayam berempah, ayam gepuk, laksa dan cendol di Ayer Keroh Height di sini.

Ibu muda itu tidak menyangka kisah hidupnya kembali mendapat perhatian selepas beberapa tahun dan perasaannya bercampur-baur apabila cerita berkenaan sekali lagi tular di media sosial.

Katanya, ada rasa sebak dan sedih, namun dalam masa sama dia bersyukur kerana masih ada insan yang mengingati kisah mereka serta mendoakan arwah suaminya.

“Bagi orang lain mungkin itu kisah yang mereka baca atau tengok di TikTok. Tapi bagi saya, itu adalah sebahagian daripada hidup saya.

“Saya yang melalui kehilangan itu dan saya yang terpaksa belajar menerima bahawa orang yang saya sayang pergi terlalu awal,” katanya.

Sebelum ini, video yang dimuat naik Ain di TikTok pernah meraih lebih 2.5 juta tontonan.

Menurutnya, biarpun perjalanan hidupnya tidak seperti yang pernah dirancang, dia memilih untuk terus melangkah bersama anaknya, sambil percaya setiap kehilangan yang berlaku pasti ada hikmah yang ALLAH SWT simpan.