SUDAH tertulis dan ada rekod sahih dalam sejarah tentang kehebatan orang Melayu pada zaman dahulu kala.
Orang Melayu bukan sahaja hebat dalam peperangan malah mampu membina kerajaan sehingga menguasai perdagangan, pelayaran, diplomasi dan ilmu.
Buktinya menerusi kewujudan kerajaan Srivijaya yang menguasai sebahagian jaringan perdagangan Asia Tenggara selama beberapa abad. Kemudian tertubuhnya kesultanan Melaka pula menjadi kemuncak kegemilangan dunia Melayu pada abad ke-15.
Melaka berkembang sebagai pusat perdagangan antarabangsa yang menghubungkan pedagang dari China, India, Arab, Parsi dan Nusantara.
Bahasa Melayu berkembang sebagai lingua franca yang digunakan secara meluas dalam perdagangan, diplomasi dan komunikasi di rantau Nusantara.
Perkembangan Islam pula memperkaya tradisi intelektual Melayu melalui tulisan Jawi, kesusasteraan, undang-undang dan pemikiran agama.
Tokoh seperti Hamzah Fansuri dan Nuruddin al-Raniri menunjukkan kewujudan tradisi keilmuan Melayu yang mempunyai hubungan dengan dunia intelektual Islam yang lebih luas.
Kehebatan sejarah Melayu juga terserlah melalui ketahanan menghadapi kuasa asing. Tokoh seperti Dol Said, Rentap, Mat Salleh, Tok Janggut, Datuk Bahaman dan Haji Abdul Rahman Limbong menjadi simbol perjuangan mempertahankan tanah dan autonomi.
Ini semua merupakan kebanggaan bagi orang-orang Melayu yang tidak boleh dipertikaikan lagi.
Kemudian muncul Dr Solehah Yaacob yang tampil dengan dapatan fakta baharu dan menyebabkan rasa takjub dengan kehebatan orang Melayu semakin meninggi.
Antara pandangan yang dilaporkan pernah dikemukakannya ialah masyarakat Rom purba mempelajari ilmu pembuatan kapal daripada orang Melayu.
Terbaru, beliau membentangkan teori yang mengaitkan kekayaan bijih besi di Kedah purba dengan kemungkinan hujan meteor pada zaman silam.
Pembentangan bertajuk Besi Dari Langit — Mengapa Kedah Kaya Dengan Besi? itu mengaitkan susun atur geologi Gunung Jerai dan kompleks peleburan besi purba Sungai Batu dengan kemungkinan kesan hentaman objek dari angkasa.
Sebagai bekas ahli akademik sudah tentu Dr Solehah mempunyai asas dan bukti untuk menyokong pandangan beliau berdasarkan disiplin ilmu yang beliau miliki.
Maka ramailah yang menyokong dan menerima secara bulat-bulat dengan apa yang telah beliau bentangkan dan sampaikan. Bagaimanapun, ada pihak menyanggah pandangan yang dikemukakan itu dengan kepakaran dan disiplin ilmu yang mereka ada.
Malangnya hujahan balas pengkaji sejarah terbabit tidak diterima sebahagian masyarakat sehingga menyebabkan mereka mendapat kecaman pula.
Tulisan mereka di media sosial telah dipandang sepi kerana menafikan tentang kisah-kisah kehebatan orang Melayu yang belum dapat disahkan kebenarannya.
Kerajaan Srivijaya sudah wujud sejak 600 Masihi dan dari segi usianya kini kira-kira 1,400 tahun. Dalam rekod sejarah mengatakan ia mengalami kejatuhan pada abad ke-13 kerana wujudnya persaingan, peperangan dan perubahan laluan perdagangan maritim.
Jadi dengan sejarah yang amat hebat itu maka eloklah juga dipertahankan kehebatan orang Melayu dengan pemikiran terbuka dan matang serta mampu membuat penilaian yang baik terhadap sebarang pandangan. Usahlah diharapkan hebatnya orang Melayu dalam lipatan sejarah saja tetapi mampu mencipta masa depan.
Kita perlu belajar untuk terima pandangan pelbagai pihak dan tidak menerima sesuatu pandangan yang belum dapat disahkan fakta serta kesahihannya.
Dalam perkembangan terbaru, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sudah menamatkan perkhidmatan Dr Solehah sebagai kakitangan akademik dan dilarang menggunakan sebarang gelaran atau kaitan dengan institusi pengajian tinggi itu lagi.
Sebagai respons, Dr Solehah akan mencabar penamatan perkhidmatannya selepas mendakwa beliau dipecat dalam tempoh hanya 24 jam tanpa diberi peluang membuat rayuan.
Dr Solehah mendakwa tindakan UIAM menamatkan perkhidmatannya sebagai kakitangan akademik dibuat secara tidak profesional, selain mendedahkan beliau menolak tawaran pampasan bersamaan enam bulan gaji.
*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian