SHAH ALAM - Jalinan kerjasama politik tidak wajar dilakukan dengan cara paksaan, ugutan mahupun tekanan meskipun terdapat tawaran yang pernah ditolak sebelum ini.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pihaknya menganggap tindakan sedemikian sebagai dayus.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu beranggapan, keputusan untuk menolak daripada menjalinkan kerjasama atau persefahaman politik dengan mana-mana gabungan parti politik lain mesti dihormati semua pihak.
"Ibarat nak ajak orang berkahwin. Kita dah melamar, tapi orang tak sudi.
"Bila orang tak sudi, sepatutnya kita hormat keputusan dia. Bukan tekan, ugut, pujuk, paksa dan gunakan segala cara supaya dia terpaksa menerima kita.
"Kalau orang dah tak sudi, tapi masih guna tekanan untuk paksa bersama bukan kuat. Itu dayus namanya," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Beliau berpendapat bahawa dalam soal menjalinkan hubungan politik, setiap parti perlu mempunyai maruah dan pendirian sendiri, bukannya terlalu mengejar kerjasama sehingga mengorbankan harga diri.
"Nak berkawan pun kena ada maruah. Nak bekerjasama pun kena ada harga diri," ujarnya.
Hantaran tersebut dimuat naik beberapa jam sebelum UMNO mengadakan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dijadual bermula 8 malam ini di Menara Dato' Onn Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Meskipun hantaran beliau tidak menamakan mana-mana parti politik, sindiran itu dipercayai merujuk kepada perkembangan hubungan dan rundingan antara UMNO-Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) yang kini menjadi perhatian menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Dr Muhamad Akmal sebelum ini beberapa kali menegaskan bahawa UMNO mempunyai pendirian dan prinsip tersendiri dalam menentukan bentuk kerjasama politik.
Tambah beliau, pihaknya tidak mahu parti itu dilihat hanya mengikut kehendak mana-mana pihak.