GERIK – Gempa bumi lemah yang berlaku sekitar tengah malam pada Jumaat mengejutkan penduduk di beberapa kampung sekitar Gerik apabila mereka turut merasai gegaran berkenaan.
Kejadian itu berlaku susulan gempa bumi lemah bermagnitud 3.4 yang direkodkan di kawasan Temengor, Gerik, pada jam 12.04 tengah malam.
Di Kampung Perah, seorang penduduk, Muhammad Amiluddin Md Nor, 44, berkata, gegaran yang dialaminya ketika sedang berehat di luar rumah itu disertai bunyi kuat seakan-akan datang dari dalam tanah.
Menurutnya, kejadian itu menyebabkan tiang rumah dan tiang elektrik berhampiran kediamannya bergoncang, manakala kucing peliharaannya turut kelihatan gelisah dan berulang kali berpindah tempat.
"Saya tengok kucing-kucing yang tidur di bawah meja terus lari naik atas meja. Bila bergoncang lagi, dia turun dan naik semula. Saya terus lari keluar rumah sebab takut," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Muhammad Amiluddin berkata, gegaran berkenaan merupakan pengalaman pertama sepanjang hidupnya dan menyebabkan dia sukar melelapkan mata kerana bimbang berlaku kejadian lebih buruk.
Katanya, disebabkan keadaan itu rumahnya turut mengalami keretakan pada bahagian dinding namun tiada kecederaan dilaporkan setakat ini.
"Saya sampai terfikir, nak kiamatkah dunia ini. Lepas kejadian, saya risau juga kalau berlaku lagi.
"Bukan apa saya bimbang kalau jadi takut Empangan Temengor terjejas," katanya.
Sementara itu, penduduk Kampung Tanjung Kala, Muhammad Tauffik Mohd Nazari, 33, berkata, dia tersedar sewaktu hendak tidur apabila merasakan gegaran seakan-akan bunyi kucing berlari atau bergaduh di atas bumbung rumah.
Menurutnya, gegaran itu berlaku seketika, kira-kira dua saat, dan tidak menyebabkan sebarang kerosakan pada rumahnya.
"Saya ingat kucing yang berlari di atas atap sebab memang selalu ada kucing bergaduh di situ. Tetapi selepas melihat WhatsApp pagi tadi, baru saya tahu mungkin itulah gegaran gempa bumi.
"Ini kali pertama saya rasa gegaran seperti itu. Tidaklah takut sangat sebab gegaran sekejap, tetapi kalau berlaku lebih lama mungkin lain perasaannya," katanya.
Bagi Muhammad Faris Aqil Khuzaiman, 22, dari Kampung Kerunai, kejadian itu lebih mengejutkan ketika sedang berbaring di atas katil sambil bermain telefon tiba-tiba merasakan katil dan dinding rumah bergegar.
Katanya, dia turut mendengar bunyi seperti guruh yang seolah-olah datang dari bawah tanah ketika kejadian.
"Pada awalnya saya terkejut dan sedikit cemas kerana tidak pernah mengalami perkara seperti ini. Saya juga tidak percaya apa yang saya rasa itu sebenarnya gempa bumi.
"Selepas mengetahui gempa bumi memang berlaku di kawasan Gerik, barulah saya yakin dengan apa yang dialami. Walaupun gegarannya tidak terlalu kuat dan tiada kerosakan, saya tetap bimbang jika berlaku gegaran susulan," katanya.
Menurut Muhammad Faris Aqil, ibu dan kakaknya yang berada di rumah turut mendengar dan merasai gegaran tersebut.
Setakat ini, tiada kecederaan atau kerosakan serius dilaporkan susulan kejadian berkenaan.