KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memberi lebih tumpuan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan pada 9 Oktober depan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, PMKS merupakan tulang belakang ekonomi negara dan akan menjadi antara keutamaan dalam ketetapan belanjawan kali ini.
Menurutnya, prestasi ekonomi Malaysia yang mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) positif pada suku kedua perlu diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dinikmati oleh semua lapisan rakyat termasuk PMKS.
"Alhamdulillah juga kita kena memahami, kalau kita tengok situasi ekonomi Malaysia, Alhamdulillah kita lihat suku kedua pertumbuhan KDNK rancak sekali.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sambutan Hari Kebangsaan Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Kempen 'Cerita Mereka Jiwa Malaysia' menerusi Karnival BSN Mikro Madani di Wisma BSN.
Mengulas kandungan Belanjawan 2027, Amir Hamzah berkata, kerajaan masih meneliti pelbagai cadangan yang diterima daripada agensi, kementerian serta hasil sesi libat urus bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Kita tengah berusaha sekarang untuk melihat inisiatif-inisiatif yang sepatutnya boleh dapat menolong dan memperkasakan PMKS.
"Apa yang kita boleh lihat daripada cadangan yang diterima daripada agensi, kementerian dan juga hasil sesi libat urus dengan semua NGO yang datang, kita dapat banyak cadangan. Yang penting sekarang kita kena nilai cadangan ini, terima dan lihat apa yang kita boleh buat dalam belanjawan ini," katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Belanjawan 2027 akan berpaksikan kepada 10 teras yang telah dibentangkan menerusi Kerangka Asas Belanjawan 2027.
Jelasnya, antara fokus utama ialah menangani kos sara hidup, mewujudkan pekerjaan yang bermakna serta merancakkan ekonomi Malaysia supaya lebih banyak peluang dapat dicipta untuk rakyat.