KUALA LUMPUR - Bilik mayat di Nepal semakin kehabisan ruang susulan penemuan berterusan mangsa yang dihanyutkan jauh ke hilir akibat banjir kilat dahsyat Bhotekoshi.
Keadaan itu memaksa pihak berkuasa mewujudkan kemudahan sementara dan memindahkan mayat ke daerah berhampiran, lapor media tempatan pada Jumaat.
Menurut The Kathmandu Post, mayat dari Rasuwa dan Nuwakot ditemukan di kawasan hilir di Chitwan, Tanahun dan Nawalparasi, sekali gus membebankan kemudahan penyimpanan mayat dan menyukarkan usaha pengecaman.
Di Chitwan, sebanyak 137 mangsa maut ditemukan di sepanjang Sungai Trishuli dan Narayani setakat pagi Khamis, jumlah yang jauh melebihi kapasiti bilik mayat daerah itu yang hanya mampu memuatkan antara 30 hingga 50 jasad.
Pegawai Daerah Chitwan, Ganesh Aryal berkata, sebuah bangunan Institut Pembangunan Perusahaan Perindustrian yang tidak digunakan di Bharatpur sedang diubah suai menjadi tempat penyimpanan mayat sementara yang mampu menampung kira-kira 250 jasad.
"Kemudahan itu akan menggunakan penyaman udara dan ais kering untuk melambatkan proses pereputan," katanya seperti yang dipetik oleh The Kathmandu Post.
Kemudahan di Pokhara juga beroperasi melebihi kapasiti selepas menerima 93 mayat dari Tanahun, Gorkha, Nawalparasi Timur dan Dhading.
Pegawai Daerah Kaski, Kuman Singh Gurung berkata, kesemua hospital di daerah itu secara keseluruhannya mampu menampung 88 mayat, termasuk lima mayat yang telah disimpan sebelum kejadian banjir.
"Buat masa ini, kami berjaya menampung jumlah tersebut. Jika lebih banyak mayat tiba, kami perlu membuat penyelarasan dengan daerah berhampiran," katanya.
Pegawai maklumat Akademi Sains Kesihatan Pokhara, Sushil Aryal berkata, mayat-mayat tersebut disimpan pada suhu antara dua hingga enam darjah Celsius dan hanya boleh diawet untuk tempoh 10 hari hingga dua minggu.
Sementara itu, anggota keluarga mangsa yang hilang telah mula tiba di Chitwan dari beberapa daerah dengan membawa gambar serta mendapatkan maklumat susulan penemuan lebih banyak mayat.
Ketua Polis Kaski, Superintendan Polis Nabin Karki berkata, pihak polis sedang mengambil gambar mayat, cap jari dan sampel DNA bagi membantu proses pengecaman.
Gambar mangsa yang wajahnya masih boleh dikenal pasti turut disebarkan bagi membantu keluarga mengecam ahli keluarga mereka.
"Jika waris tidak dapat dikesan atau mayat tidak dapat dikenal pasti, kami tidak boleh menyimpannya untuk tempoh panjang memandangkan cap jari dan sampel DNA telah pun diambil lebih awal," kata Karki.
Pihak berkuasa sedang menyelaras dengan agensi tempatan untuk menetapkan tapak pengebumian yang sesuai bagi mayat yang belum dikenal pasti.
Angka kematian akibat banjir besar itu telah meningkat kepada 475 orang, dengan ratusan lagi masih hilang sementara pasukan mencari dan menyelamat menyusur sungai serta kawasan hilir bagi mengesan mangsa yang terselamat dan menemukan mayat.
Bencana itu telah menghanyutkan rumah, jambatan dan jalan raya, menyebabkan beberapa komuniti serta pengembara terputus hubungan.
Skala sebenar bencana itu belum dapat dipastikan sepenuhnya sementara pihak berkuasa menyelaraskan data mengenai jumlah korban dan orang hilang dari daerah-daerah terjejas, lapor The Kathmandu Post. - Bernama