KUANTAN – Prestasi kerajaan negeri yang terus bekerja untuk rakyat selain tidak terlalu berpolitik antara pendorong pihak yang dahulu tidak bersetuju mengubah pendirian menyokong pentadbiran kerajaan negeri.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perubahan pendirian itu turut menunjukkan wujudnya keyakinan mereka terhadap kerajaan negeri di bawah pimpinannya ketika ini.
Menurutnya, kerajaan negeri mengalu-alukan sokongan diberikan mana-mana pihak lebih-lebih lagi jika ianya tanpa syarat atau rundingan tertentu.
“Bila ada pihak yang dulunya tidak bersetuju dengan kita tiba-tiba berubah dan zahirkan sokongan kepada kita, Alhamdulillah, kita mengalu-alukan.
“Lebih-lebih lagi apabila mereka datang sendiri untuk menyokong kita tanpa syarat, tanpa rundingan dan tanpa apa-apa, jadi saya amat mengalu-alukan dan ucap terima kasih kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Tapak Projek Pencawang Masuk Utama (PMU) 500kV Kampung Awah di sini pada Jumaat.
Wan Rosdy berkata, berdasarkan pengamatannya, sokongan tersebut diberikan berdasarkan rekod prestasi kerajaan negeri sepanjang mentadbir negeri ini.
“Mereka ada keyakinan kepada kerajaan negeri sebab itu mereka menyokong. Mereka tengok 'track record' mereka tengok apa yang telah kita buat dan kita pun tidak berpolitik sangat.
“Kita terus buat kerja. Kemelut politik berlaku di negeri lain, tetapi di Pahang kita terus buat kerja. Sampai masa, we cross the bridge,” katanya.
Tambah beliau, tumpuan kerajaan negeri ketika ini memastikan kesejahteraan rakyat terus diberi keutamaan berbanding memberi fokus kepada kemelut politik.
Katanya, kestabilan politik membolehkan kerajaan negeri melaksanakan pelbagai program dan agenda pembangunan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Pada masa ini tumpuan kita kepada rakyat, kesejahteraan rakyat dan buat kerja. Kalau berlaku ketidakstabilan politik, masa bila kita nak fokus kepada rakyat?.
“Macam hari ini, dalam masa dua jam saya boleh hadir dua program, Majlis Penyerahan Projek Siap Daerah Maran di Loji Rawatan Air (LRA) Chenor dan Perasmian Tapak Projek PMU 500kV Kampung Awah. Itu menunjukkan wujudnya kestabilan politik,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, kestabilan politik turut membantu menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini.
Beliau berkata, kemasukan pelaburan bukan sahaja memberi manfaat kepada kerajaan negeri, malah turut memberi limpahan ekonomi kepada rakyat.