MAHA 2026: Teknologi pertanian, pameran produk curi perhatian pengunjung

Iklan
Pengunjung mula hadir seawal jam 10 pagi pada hari pertama MAHA 2026 di Maeps pada Jumaat. Gambar kecil dari kiri: Rohaiza Azreen, Mohd Fauzi, Nurul Izanaa dan Nurul Shahira. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID

SERDANG – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026, pameran berprestij negara kini kembali menggamatkan Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini dengan menawarkan pelbagai aktiviti menarik buat pengunjung.

Bertemakan ‘Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan’, pameran pertanian terbesar negara itu bukan sahaja mengetengahkan hasil pertanian dan produk industri kecil dan sederhana (IKS), malah membawa pengunjung melihat sendiri perkembangan teknologi serta inovasi dalam sektor agro.

Iklan
Iklan

Sebahagian pengunjung yang ditemui Sinar Harian pada hari pertama MAHA 2026 mengakui banyak mempelajari pembaharuan dalam teknologi pertanian baharu.

Bagi Rohaiza Azreen Saaid, 37, kunjungannya ke MAHA memberi peluang untuk bersantai sambil mengenali perkara baharu.

Iklan

“Saya memang datang untuk berjalan-jalan, tetapi banyak juga perkara baharu yang saya belajar.

Selain menambah ilmu, Rohaiza turut tertarik dengan pelbagai produk IKS yang ditawarkan pada harga berpatutan.

Iklan

Sementara itu, pesara guru, Mohd Fauzi Ali, 42, yang hadir bersama isterinya, Nurul Izanaa Ab Rahman, 41, berkata MAHA kali ini memberikan pengalaman berbeza selepas kunjungan terakhir pada 2018.

Menurutnya, perkembangan teknologi dalam sektor pertanian jelas dapat dilihat, termasuk penggunaan dron yang kini semakin meluas.

“Kali terakhir kami datang pada 2018. Jadi, kali ini memang nampak banyak pembaharuan.

“Teknologi pertanian juga semakin berkembang, antaranya penggunaan dron yang mungkin tidak begitu biasa kita lihat sebelum ini,” katanya yang berasal dari Kuala Terengganu.

Laman Padi membawa pengalaman sebenar pengunjung MAHA 2026 terhadap hasil produk beras negara. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID

Bukan teknologi sahaja yang mencuri perhatian pasangan itu, malah kepelbagaian produk tempatan dan antarabangsa turut menjadi tarikan.

Nurul Izanaa berkata, antara yang menarik perhatiannya ialah melon manis Terengganu yang mempunyai tekstur rangup selain ditawarkan dalam beberapa varieti.

“Sebelum ini mungkin kita hanya tahu nama melon, tetapi di sini kita dapat lihat pelbagai varieti dan mengetahui perbezaannya,” katanya.

Bagi Nurul Shahira Zulkarnain dari Rembau, Negeri Sembilan pula, MAHA menjadi pilihan untuk meluangkan masa bersama keluarga sambil melihat pelbagai jenis tanaman dan buah-buahan.

Lebih menarik, kunjungan kali ini merupakan kali ketiga buatnya dan dia berhasrat untuk menjelajah sebanyak mungkin kawasan pameran.

“Memang kami merancang untuk jelajah habis. Banyak pokok buah-buahan yang menarik dan pilihan juga semakin banyak.

Menurutnya, suasana pada hari pertama juga lebih selesa kerana jumlah pengunjung tidak terlalu ramai, sekali gus memudahkan mereka bergerak dan melihat pameran dengan lebih santai.

MAHA 2026 berlangsung selama 10 hari bermula Jumaat dengan menghimpunkan kira-kira 2,000 pempamer menerusi lima zon utama iaitu pertanian dan tanaman, hortikultur dan florikultur, perikanan dan akuakultur, ternakan dan haiwan kesayangan serta agropelancongan.

Pengunjung juga boleh melihat pelbagai teknologi moden termasuk jentera pertanian, kenderaan berautomasi dan penggunaan dron dalam aktiviti seperti tanaman padi, nanas serta tembikai.

MAHA 2026 bukan sahaja mengetengahkan hasil pertanian dan produk IKS malah membawa pengunjung melihat sendiri perkembangan teknologi serta inovasi dalam sektor agro. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID

Tidak ketinggalan, Pameran Agroteknologi, Pavilion Negeri, Fiesta dan Empayar Agromakanan, Agrosafari, Kota Keriangan Kanak-kanak serta Taman Magika yang menawarkan pengalaman berbeza untuk seisi keluarga.

Pelbagai acara turut diadakan termasuk pertunjukan laser cahaya dan dron, Rewang Warisan, Sukan Rakyat, sambutan Ambang Merdeka serta Rhythm of The Farmers (ROTF).

Penganjuran MAHA 2026 turut diserikan penyertaan antarabangsa antaranya Jepun, Korea Selatan dan Kenya dengan pameran teknologi moden termasuk kecerdasan buatan (AI) dalam sektor pertanian, selain membuka peluang padanan perniagaan antara pemain industri tempatan dan luar negara.