370 kanak-kanak Palestin ditahan di penjara Israel - Laporan

Iklan
Anggota tentera Israel mengawal seorang lelaki Palestin yang ditahan ketika serbuan di Pusat Latihan Vokasional UNRWA, yang terletak antara kawasan kejiranan Kafr Aqab dan kem pelarian Qalandia, di selatan bandar Ramallah, Tebing Barat. Foto AFP

ANKARA - Kira-kira 370 kanak-kanak Palestin kini ditahan di penjara Israel, dengan kebanyakan mereka ditempatkan di Megiddo dan Ofer, menurut laporan baharu Pusat Advokasi Tahanan Palestin, lapor Anadolu Ajansi.

Kumpulan hak asasi manusia itu menyatakan kanak-kanak terbabit merupakan sebahagian daripada lebih 9,400 tahanan Palestin yang ditahan Israel setakat awal Ogos.

Iklan
Iklan

Laporan itu menyebut tindakan Israel menahan kanak-kanak Palestin bukan lagi sekadar kes terpencil, sebaliknya telah menjadi satu corak berulang dalam kempen penangkapan di seluruh Tebing Barat yang diduduki dan Baitulmaqdis Timur.

Ia menambah pasukan keselamatan Israel telah menahan 276 kanak-kanak Palestin dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini sahaja.

Iklan

Kumpulan itu turut menarik perhatian terhadap amalan berterusan Israel menggunakan penahanan pentadbiran, yang membolehkan rakyat Palestin ditahan tanpa sebarang pertuduhan atau perbicaraan bagi tempoh yang boleh diperbaharui, berdasarkan bukti yang tidak didedahkan.

Pertubuhan hak asasi Palestin dan antarabangsa telah berulang kali menuduh pihak berkuasa Israel mengenakan layanan buruk terhadap tahanan termasuk golongan bawah umur serta menafikan akses mereka kepada makanan dan rawatan perubatan mencukupi. - Bernama-Anadolu

Iklan