KOTA BELUD - Kurang pengetahuan mengenai penularan Human Immunodeficiency Virus (HIV) menyebabkan sebahagian golongan muda Sabah yang berhijrah ke Semenanjung mudah terikut-ikut dan terlibat dalam hubungan sejenis sehingga mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan virus berkenaan.
Setiausaha Kehormat Malaysian AIDS Foundation (MAF), Dr Zaiton Yahaya berkata, keadaan itu perlu diberi perhatian terutama apabila trend penularan HIV ketika ini lebih menjurus kepada hubungan seksual berbanding perkongsian jarum suntikan seperti yang banyak berlaku sebelum ini.
Menurutnya, antara kes yang dikenal pasti melibatkan hubungan seksual lelaki dengan lelaki, namun penularan turut berlaku dalam kalangan heteroseksual dan biseksual serta daripada ibu kepada anak.
"Kalau kita lihat dalam kalangan anak muda Sabah, ada yang kurang pengetahuan mengenai perkara ini kemudian pergi bekerja di Semenanjung.
"Mereka mungkin terikut-ikut dan tidak mengetahui risiko yang dihadapi sehingga akhirnya terlibat," katanya ketika ditemui selepas Program Jangkauan Sabah Health Access Program (SHAPE), di sini, pada Khamis.
Mengulas perubahan trend penularan HIV, Dr Zaiton berkata, pada masa dahulu kes HIV kebanyakannya dikaitkan dengan perkongsian jarum suntikan dalam kalangan individu yang mengambil dadah.
Bagaimanapun katanya, kerjasama dan penyelarasan bersama kerajaan termasuk menerusi program pemberian picagari serta jarum secara percuma dan rawatan metadon membantu menguruskan kes berkaitan penggunaan dadah dengan lebih baik.
"Ini bukan bermaksud HIV sudah dapat dikawal sepenuhnya, tetapi sekarang trend penularan lebih menjurus kepada hubungan seksual.
"Dahulu, ada yang terlibat dengan penggunaan jarum tanpa mengetahui bahayanya dan ada juga penularan melalui hubungan seksual. Sekarang kita tahu trend lebih banyak melibatkan hubungan seksual," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan kes yang dikendalikan, kebanyakannya melibatkan hubungan seksual lelaki dengan lelaki, namun menegaskan penularan HIV tidak khusus kepada golongan berkenaan.
"Kebanyakannya melibatkan hubungan lelaki dengan lelaki, tetapi kita juga mempunyai kes dalam kalangan heteroseksual. Ada yang biseksual dan ada juga penularan daripada ibu kepada anak," katanya.
Bagaimanapun, Dr Zaiton berkata, perkembangan dalam rawatan dan pencegahan kini membolehkan risiko penularan HIV daripada ibu kepada bayi dikurangkan.
Katanya, Malaysia telah memperkenalkan PMCT (prevention of mother-to-child transmission) atau pencegahan penularan daripada ibu kepada anak termasuk menerusi rawatan yang dimulakan sejak awal kehamilan.
"Apabila rawatan dimulakan sejak awal kehamilan, anak yang dilahirkan boleh bebas HIV," katanya.
Dalam pada itu, berkongsi pengalamannya lebih 20 tahun dalam kerja kebajikan berkaitan HIV, Dr Zaiton berkata, penderitaan seorang wanita yang kehilangan suami akibat HIV menjadi antara titik permulaan beliau terbabit dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu Orang yang Hidup dengan HIV (OHDA).
Katanya, wanita yang mempunyai tiga anak itu sering datang mendapatkan rawatan di kliniknya sebelum diketahui berada dalam keadaan kesihatan yang sudah terlalu lewat untuk dibantu.
"Apabila saya melihat keadaannya, saya tahu apabila pesakit datang kepada kita dalam keadaan sebegitu, keadaannya sudah terlalu lewat.
"Dia sudah berada pada tahap terminal dan kita tidak banyak yang dapat dilakukan untuk membantunya," katanya.
Menurut Dr Zaiton, pengalaman berkenaan menyedarkannya mengenai kesan HIV terhadap wanita dan keluarga terutama apabila mereka mempunyai anak yang masih memerlukan penjagaan.
"Perkara itu sangat menyentuh hati kerana kita dapat memahami bahawa wanita antara golongan yang paling terkesan. Kalau sesuatu berlaku kepada pasangan mereka, siapa yang akan menjaga anak-anak mereka?
"Dari situlah semuanya bermula dan saya bersama NGO untuk membantu mereka," katanya.
Sebelum itu, beliau bersama rombongan terdiri daripada Pengarah Eksekutif Malaysian AIDS Foundation dan Malaysian AIDS Council, Jasmin Jalil; Ketua Bahagian Kesejahteraan dan Pembangunan Komuniti Yayasan Petronas, Roszaidah Husman @ Othman, serta pengurusnya, Dr Faizal Ibrahim melawat empat rumah penerima bantuan terdiri daripada pesakit kanak-kanak, HIV dan talasemia.