GEORGE TOWN - Polis sedang menjalankan siasatan terhadap 10 individu yang ditahan berhubung satu kes peras ugut membabitkan sejumlah wang yang dilaporkan mencecah RM60,000.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim berkata, siasatan dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat sebelum serbuan dilakukan terhadap kumpulan terbabit.
Menurutnya, hasil serbuan itu, polis turut mengesan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai bertindak sebagai orang tengah bagi menyelesaikan kes berkenaan.
“Lelaki itu bukan polis tetapi dipercayai menjadi orang tengah untuk menyelesaikan kes berkenaan.
“Susulan laporan yang dibuat mangsa, polis memulakan siasatan dan seterusnya berjaya menahan keseluruhan kumpulan terbabit,” katanya pada sidang akhbar di Ibupejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Jumaat.
Terdahulu, seramai 10 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes pemerasan di sebuah kilang sisa elektronik (e-waste) Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara.
Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (Gerakan / Operasi) Bukit Aman, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, kesemua tangkapan merupakan petugas daripada Batalian 2, PGA, Kulim, Kedah.
Dalam perkembangan sama, Dennis berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan peras ugut.
Katanya, kesemua 10 individu yang ditahan dipercayai bergerak sebagai satu kumpulan.
“Berdasarkan laporan awal, jumlah yang terlibat ialah sekitar RM60,000, namun jumlah sebenar dipercayai lebih daripada itu.
“Kita masih mengumpul keterangan dan maklumat risikan tambahan. Jadi, saya tidak mahu memberikan jumlah sebenar pada peringkat ini kerana bimbang berlaku percanggahan dengan fakta yang akan dikemukakan kemudian,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan pihaknya berhati-hati dalam mendedahkan butiran siasatan kerana ia masih di peringkat awal.
“Kita mempunyai fakta kes tetapi keterangan risikan masih dikumpulkan. Apa yang kita dedahkan mesti berdasarkan fakta yang tepat supaya tidak menjejaskan siasatan. Kalau maklumat masih belum disahkan sepenuhnya, lebih baik kita tidak keluarkan,” katanya.
Tambah Dennis, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti peranan setiap individu yang ditahan serta jumlah sebenar wang yang terlibat.