PDRM perkukuh strategi risikan hadapi ancaman digital, AI

Iklan
Mohd Khalid

KUALA LUMPUR – Perkembangan teknologi termasuk penyalahgunaan ruang digital dan kecerdasan buatan (AI) kini menjadi antara cabaran baharu yang perlu diberi perhatian serius dalam usaha memastikan keselamatan negara terus terpelihara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, ruang digital dan AI sering disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan propaganda, memanipulasi persepsi serta memperluaskan pengaruh negatif.

Iklan
Iklan

"Dalam hal ini, Cawangan Khas perlu terus memperkukuhkan keupayaan risikan melalui kerjasama strategik dengan jabatan dalam PDRM, agensi luar serta rakan antarabangsa bagi membolehkan kita mengesan dan menilai setiap ancaman secara menyeluruh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perhimpunan bulanan di Bukit Aman yang disiarkan secara langsung melalui Facebook PDRM pada Jumaat.

Iklan

Mohd Khalid berkata, kesepaduan risikan dan penguatkuasaan menjadi asas kepada kejayaan signifikan PDRM sepanjang separuh pertama tahun ini.

"Cawangan Khas merekodkan sebanyak 284 tangkapan dengan nilai rampasan dan sitaan melebihi RM260 juta sepanjang Januari hingga Jun lalu.

Iklan

Katanya, kejayaan itu bukan hasil usaha satu pihak sahaja, sebaliknya diperkukuhkan menerusi kerjasama erat dengan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) serta semua agensi di bawah PDRM.

Dalam pada itu, beliau berkata, Cawangan Khas turut mengambil pendekatan keselamatan pencegahan atau preventive security dalam menangani isu sensitif yang berpotensi menggugat keharmonian kaum.

"Kejayaan Program Harmoni Madani pada Mac lalu yang menghimpunkan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tokoh masyarakat dan media membuktikan dialog serta rundingan merupakan pendekatan berkesan bagi meredakan ketegangan.

"Pendekatan ini bukan sahaja berjaya memulihkan keadaan malah memperkukuhkan kerjasama antara komuniti dan agensi kerajaan dalam memelihara kesejahteraan negara," katanya.

Sementara itu, Mohd Khalid berkata, situasi ancaman pengganas di Malaysia kekal terkawal hasil operasi risikan berterusan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas.

"Namun, kita tidak boleh alpa langkah pencegahan melalui program libat urus dan program deradikalisasi akan terus dilaksanakan secara giat bagi mengekang penyebaran fahaman radikal," ujarnya.