KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Sumber Manusia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas tiga pertuduhan menerima rasuah RM1.097 juta bagi kelulusan kuota pekerja asing, empat tahun lalu.
Datuk Seri M Saravanan yang memakai kot berwarna hitam membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Azura Alwi.
Mengikut semua pertuduhan, Ahli Parlimen Tapah berusia 58 tahun itu didakwa menerima suapan wang RM150,000, RM350,000 dan RM597,000 daripada Pengarah Syarikat Vectica Resources Sdn Bhd, Tan Teck Lim, 65, melalui Syed Amirul Syed Ahmad, 38.
Wang RM597,000 itu diterima melalui satu cek yang didepositkan ke akaun bank milik Big Seven Ventures Sdn Bhd.
Ia sebagai dorongan dan upah tertuduh sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Sumber Manusia, memberikan kelulusan permohonan 1,000 kuota pekerja asing bagi syarikat TYKB Engineering Sdn Bhd.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah pusat peranginan golf di sini, di Jalan Telawi 3, Bangsar dan sebuah bank Cawangan Jalan Klang Lama, Taman Desa, pada 16 Jun dan 7 Julai 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Turut hadir mengikuti prosiding berkenaan ialah Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan isteri Saravanan, Datin Seri Kavitha Vivekanandan.
AKAN MENYUSUL