NEW DELHI - Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun di India terpaksa menghabiskan kehidupannya sepanjang lima tahun lalu dengan berendam di dalam sebuah kolam kecil bagi meredakan rasa terbakar dan sakit pada kulitnya.
Remaja berkenaan, Iqbal Sheikh yang berasal dari Murshidabad, Bengal Barat, mendakwa terpaksa berada di dalam air hampir sepanjang masa kerana kesakitan yang dialaminya menjadi semakin teruk apabila berada terlalu lama di luar air.
Menurut Oddity Central, Iqbal telah menjalani pemeriksaan di beberapa hospital selain mendapatkan rawatan daripada sejumlah pengamal perubatan tradisional yang mendakwa mampu menyembuhkan keadaannya.
Bagaimanapun, sehingga kini, tiada pihak berjaya mengenal pasti punca sebenar penyakitnya atau memberikan rawatan yang mampu memperbaiki keadaannya.
Keadaan itu menyebabkan Iqbal menghabiskan siang dan malam dengan berada di dalam kolam kecil berhampiran rumahnya.
Dia juga dilaporkan percaya penyakit yang dialaminya mungkin mempunyai kaitan dengan unsur mistik.
Kisah remaja itu kembali mendapat perhatian selepas sebuah video yang menunjukkan dirinya berendam hingga ke paras leher di dalam kolam tular di internet.
Video berkenaan turut mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial mengenai keadaan sebenar yang dialami Iqbal.
Iqbal dan keluarganya dijangka perlu menempuh perjalanan lebih 2,000 kilometer ke Mumbai dengan harapan pasukan doktor di sana dapat mengenal pasti punca keadaannya serta memberikan rawatan yang bersesuaian.