BUSAN – Seekor jerung kelabu sepanjang kira-kira tiga meter yang menjadi tarikan pelancong di Busan, Korea Selatan, kembali memasuki terusan selepas usaha membawanya ke laut terbuka, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan haiwan itu.
Jerung betina spesies dusky shark yang digelar Bukangi itu mula dikesan di terusan North Port pada pertengahan September lalu dan menarik lebih 1.6 juta pengunjung, menurut laporan Reuters pada Khamis.
Kehadiran haiwan itu menjadi perhatian ramai apabila ia terus berenang di laluan air sempit berkenaan selama lebih sebulan, walaupun beberapa usaha dilakukan untuk membawanya kembali ke habitat asal.
Pihak berkuasa sebelum ini melancarkan operasi pada 29 September dan 2 Oktober, termasuk menggunakan semburan air serta jaring, namun usaha itu tidak berjaya.
Dalam operasi terbaharu pada 21 Oktober, petugas menggunakan pelantar terapung dan jaring untuk mengarahkan jerung berkenaan ke arah muara terusan.
Bukangi pada mulanya berjaya dibawa keluar, tetapi kemudian berenang semula ke kawasan terusan dengan melepasi penghadang jaring.
Menurut Reuters, pihak berkuasa kemudian membuka penghadang luar dan memperkukuh langkah kawalan dengan harapan jerung itu akan keluar secara sendiri.
Keadaan Bukangi terus dipantau kerana pakar sebelum ini bimbang haiwan itu tidak mendapat makanan mencukupi sepanjang berada di terusan, selain berdepan perubahan suhu air.
Jerung dusky shark disenaraikan sebagai spesies terancam oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).
Kejadian itu turut menimbulkan persoalan mengenai faktor yang menyebabkan jerung berkenaan terus berada di laluan air sempit berkenaan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa dan pakar masih memantau keadaannya, sementara usaha memastikan haiwan itu kembali ke habitat sesuai diteruskan.