SETIAP kali tibanya Ogos, Jalur Gemilang kembali menghiasi jalan raya, bangunan, premis perniagaan, kenderaan dan kediaman rakyat Malaysia.
Bulan Kebangsaan menjadi ruang untuk rakyat menghayati makna kemerdekaan serta mengingati di sebalik perbezaan kaum, agama dan pandangan, kita semua berkongsi sebuah negara dan identiti kebangsaan yang sama.
Pelbagai program sambutan termasuk penyerahan dan pengibaran Jalur Gemilang di seluruh negara turut menyemarakkan suasana Bulan Kebangsaan, sekali gus memberi peluang kepada masyarakat menzahirkan semangat cintakan negara.
Biarpun suasana politik negara masih hangat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini, semangat cintakan negara seharusnya kekal menjadi titik persamaan dalam kalangan rakyat.
Perbezaan politik tidak seharusnya mengatasi kepentingan untuk terus menghormati dan memartabatkan simbol negara yang menjadi milik bersama.
Bendera dipasang terbalik, rosak atau tidak lengkap sepatutnya tidak berlaku kerana ia mencacatkan kemeriahan sambutan Bulan Kebangsaan.
Sebarang kesilapan pemasangan perlu diperbetulkan segera kerana Jalur Gemilang ialah lambang identiti dan kedaulatan negara yang wajar dihormati.
Insiden Jalur Gemilang dipasang terbalik di sebuah premis di Kulai, Johor dan bendera tanpa lambang bulan serta bintang di Batu Buruk, Terengganu baru-baru ini menunjukkan pentingnya setiap pihak lebih teliti ketika mengibarkan bendera negara.
Perkara itu juga mengingatkan bahawa semangat patriotisme perlu disertai rasa tanggungjawab untuk memastikan Jalur Gemilang dikibarkan dalam keadaan sempurna dan mengikut tatacara yang betul.
Dalam era media sosial, satu gambar atau video boleh tersebar dalam tempoh singkat dan mencetuskan pelbagai reaksi serta andaian sebelum penjelasan sebenar diperoleh.
Namun, ia itu turut memperlihatkan sisi positif apabila masyarakat kini semakin cakna setiap aspek Jalur Gemilang termasuk bilangan jalur dan susunan warna pada bendera kebangsaan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keadaan itu menunjukkan kesedaran rakyat terhadap kepentingan menghormati Jalur Gemilang semakin meningkat, khususnya ketika Bulan Kebangsaan.
Menurut beliau, orang ramai kini semakin prihatin apabila melihat Jalur Gemilang dan tidak teragak-agak menegur atau menasihati jika terdapat kesilapan pada bendera dikibarkan.
Perkembangan itu wajar dilihat sebagai sesuatu yang positif kerana rasa memiliki terhadap simbol negara merupakan sebahagian daripada pembentukan semangat patriotisme.
Namun, keprihatinan tersebut perlu disalurkan secara berhemah dan tidak dijadikan alasan untuk mencetuskan pertelingkahan, kecaman melampau atau perpecahan dalam masyarakat.
Bulan Kebangsaan wajar dimanfaatkan untuk menyemarakkan semula semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat, khususnya dalam membina rasa bangga terhadap negara dan menghargai kepelbagaian yang menjadi kekuatan Malaysia.
Semangat kemerdekaan juga tidak semestinya diterjemahkan melalui program-program besar kerana ia boleh bermula dengan perkara mudah seperti mengibarkan Jalur Gemilang dengan betul, menjaga keharmonian kejiranan dan menghormati sesama rakyat.
Justeru, sempena Bulan Kebangsaan ini, Jalur Gemilang perlu terus diangkat sebagai simbol penyatuan rakyat.
Kibarkanlah Jalur Gemilang di rumah, premis, sekolah, kenderaan dan kawasan awam sebagai tanda kebanggaan menjadi rakyat Malaysia.
*Nor Azura Md Amin ialah wartawan Sinar Harian