MERAK Jalanan terkejut melihat harga telur ayam yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini. Baik pasar raya mahupun kedai runcit, harganya tidak semurah dulu.
Difahamkan, harga telur ayam meningkat selepas subsidi komoditi itu ditamatkan pada 1 Ogos lalu.
Hasil pemerhatian Merak Jalanan, harga sepapan untuk 30 biji telur mencecah RM14 ke atas. Kelmarin, Merak Jalanan terpaksa membayar lebih iaitu RM16.40 bagi sepapan telur bergred B.
Sebelum ini, pemerhati politik, Azizi Safar menerusi hantaran di media sosialnya turut mendakwa berlaku kenaikan harga telur ayam. Harganya berbeza mengikut negeri dan jenis premis.
Katanya, harga telur gred A bagi satu papan mencecah RM15.23. Manakala, harga telur gred B pula berada antara RM14 hingga RM15, sementara gred C dijual pada harga sekitar RM12 hingga RM14.
Itu baru telur. Belum lagi bahan asas yang lain. Telur yang selama ini di anggap antara sumber protein paling murah untuk rakyat kini bertukar sebaliknya. Jika harganya terus meningkat, ia boleh memberi tekanan kepada perbelanjaan isi rumah terutamanya kepada rakyat 'marhaen'.
Kenaikan beberapa ringgit mungkin kelihatan kecil bagi sesetengah pihak, tetapi bagi keluarga yang perlu menyediakan makanan setiap hari, kesannya tetap terasa.
Terbayang bagaimana pula nasib keluarga yang mempunyai ramai anak. Semakin ramai ahli keluarga, semakin banyak mulut yang perlu diberi makan dan sudah tentu perbelanjaan dapur turut meningkat.
Justeru, Merak Jalanan berharap kerajaan terus berusaha memastikan bekalan makanan asas mencukupi serta mengambil langkah sewajarnya bagi mengawal kenaikan harga supaya rakyat tidak terus terbeban.