KETIKA satu demi satu perkembangan mengenai rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir besar di Nepal diterima, masih belum ada jawapan pasti mengenai keberadaan puluhan lagi yang gagal dihubungi.
Ada khabar yang sedikit melegakan apabila sebahagian rakyat Malaysia yang sebelum ini tidak dapat dikesan akhirnya berjaya memberi berita bahawa mereka selamat.
Sebelum ini, seorang wanita menerusi hantaran di Threads menggunakan nama akaun 'isfarrina' memohon orang ramai mendoakan keselamatan adiknya selepas gagal menghubungi ketika banjir melanda Nepal.
Tidak lama kemudian, adik lelakinya yang sebelum ini gagal dihubungi akhirnya tampil memberi khabar bahawa dirinya selamat dengan memaklumkan masalah capaian talian di kawasan Annapurna Base Camp dipercayai menjadi antara punca komunikasi terputus.
Selain itu, 12 pendaki Malaysia di kawasan berkenaan juga dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan meneruskan perjalanan seperti biasa susulan bencana itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Banjir Nepal: Angka kematian meningkat 160 orang, lebih 680 masih hilang
Banjir Nepal: Lebih 50 rakyat Malaysia gagal dihubungi
95 maut, 484 hilang susulan banjir di utara Nepal
17 rakyat Malaysia antara ratusan hilang susulan banjir kilat di Nepal
Lebih 380 pelancong termasuk 291 warga asing hilang selepas banjir di Nepal
11 rakyat Malaysia tidak dapat dihubungi susulan banjir di Nepal - Wisma Putra
Bagaimanapun, bagi 55 rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi, keluarga dan orang ramai tentunya terus menanti khabar yang mampu meredakan kebimbangan.
Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, sebanyak 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih belum dapat dikesan susulan banjir besar di Nepal, namun jumlah tersebut juga belum disahkan oleh pihak berkuasa negara itu.
Beliau menambah, maklumat itu diterima daripada agensi pelancongan dan sedang dikumpulkan serta disemak oleh Kedutaan Malaysia di Kathmandu.
Buat masa ini, angka 55 rakyat Malaysia itu sendiri masih melalui proses semakan dan pengesahan berdasarkan maklumat daripada ahli keluarga, agensi pelancongan serta sumber berkaitan.
Yang pasti, setiap seorang daripada mereka mempunyai keluarga di Malaysia yang kini menunggu dengan penuh harapan.
Mungkin ada yang hanya menanti satu panggilan telefon, malah ada yang mungkin berharap menerima satu pesanan ringkas.
Dan mungkin ada juga yang sehingga kini masih belum mengetahui langsung keadaan sebenar ahli keluarga mereka di sana.
ARTIKEL BERKAITAN: Banjir Nepal: 'Doakan 9 pendaki Malaysia, mereka gagal dihubungi'
Banjir Nepal: ATM sedia digerakkan bagi misi kemanusiaan - Mohamed Khaled
Banjir Nepal: Angka rakyat Malaysia gagal dihubungi meningkat kepada 55 orang
Banjir Nepal: PM zahir dukacita, kerajaan giat kesan 54 rakyat Malaysia
Bencana besar seperti yang melanda Nepal bukan sahaja boleh memutuskan hubungan komunikasi, malah menyebabkan pergerakan terhad dan menyukarkan pihak berkuasa mengesahkan kedudukan setiap individu dalam tempoh singkat.
Justeru, ketika usaha mengesan mereka terus dijalankan, marilah kita sama-sama mengetepikan spekulasi dan memberi ruang kepada pihak berkuasa serta pasukan penyelamat menjalankan tugas.
Kepada keluarga yang sedang menanti, semoga terus diberikan kekuatan dan ketabahan.
Kepada seluruh rakyat Malaysia pula, marilah sama-sama menitipkan doa.
Semoga usaha mengesan rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi dipermudahkan dan semoga satu demi satu berita baik diterima.
Apa yang penting, jangan putus harapan. Mari sama-sama doakan yang terbaik buat semua rakyat Malaysia di Nepal.