Ketepikan perbezaan politik demi bangunkan usahawan Bumiputera - Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid hadir (tiga kanan) hadir Konvensyen Usahawan Bumiputera (KUB)2035 di Alor Setar pada Khamis.

ALOR SETAR - Perbezaan politik perlu diketepikan bagi memastikan agenda memperkasa usahawan Bumiputera dapat dilaksanakan secara lebih berkesan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut beliau, semua pihak termasuk kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, kementerian, agensi, institusi kewangan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu bergerak sebagai satu pasukan demi kepentingan usahawan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pendekatan bekerja secara berasingan atau ‘silo’ antara kerajaan Pusat dan negeri hanya akan menyebabkan usahawan menjadi mangsa apabila akses kepada pembiayaan, latihan serta pasaran disediakan melalui saluran yang berbeza.

“Saya ingin menyarankan, pertama, kita mesti menyatukan seluruh ekosistem. Hari ini kita mempunyai pelbagai kementerian, agensi, institusi kewangan, GLC, GLIC, kerajaan negeri yang dah mula berkawan dengan gelombang biru.

Iklan

"Menteri Besar tak boleh datang tapi wakil ada, kita berikan penghargaan pada beliau. Beliau pun hijau, itu susah bertembung dengan biru tapi kali ini insya-Allah kita sama-sama menyediakan sokongan kepada para usahawan

“Ketepikanlah hijau ke biru. Kita bersama dalam satu wadah, ” katanya ketika menyampaikan ucaptama pengulungan deklarasi Konvensyen Usahawan Bumiputera (KUB)2035 di Alor Setar pada Khamis.

Iklan

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, perbezaan warna politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha memperkukuh ekonomi usahawan Bumiputera

Jelasnya, matlamat akhirnya adalah memastikan mereka mampu mencipta nilai, memiliki syarikat yang lebih kukuh dan menguasai pasaran.

"Agenda ini perlu diterjemahkan melalui tindakan yang memberi hasil nyata, bukan sekadar deklarasi yang akhirnya disimpan tanpa pelaksanaan.

“Jangan hanya kita berada di hujung rantaian nilai. Kita mesti bergerak ke bahagian yang mencipta nilai paling besar,” ujarnya.

Tambahnya, kemajuan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) sepatutnya digunakan bagi menghubungkan semua instrumen sokongan supaya usahawan Bumiputera dapat bergerak dalam ekosistem yang lebih bersepadu.

Menurutnya, unit pemerkasaan Bumiputera di setiap kementerian, agensi dan kerajaan negeri juga perlu disegerakan pelaksanaannya bagi memastikan dasar yang dirangka tidak sekadar tinggal sebagai pekeliling.

“Saya tidak mahu perkara ini terus tertangguh. Saya tidak mahu rakyat dan para usahawan kata lebih sudu dari kuah. Jangan sampai indah khabar dari rupa.

“Kalau kita benar-benar mahu memperkasakan usahawan anak bangsa kita, maka pelaksanaannya mesti dibuat dengan bersungguh-sungguh dan dipastikan benar-benar berfungsi,” katanya lagi.