Warga IPD Mersing kibarkan 69 Jalur Gemilang di puncak Gunung Arong

Iklan
Warga IPD Mersing mengibar 69 Jalur Gemilang selepas berjaya menawan puncak Gunung Arong, Tanjung Resang.

MERSING – Semangat patriotik 113 warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing diterjemahkan menerusi pendakian Gunung Arong sebelum 69 Jalur Gemilang dikibarkan di puncak berkenaan.

Program Cabaran Kibar Jalur Gemilang itu dianjurkan sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan merupakan kali kedua diadakan selepas penganjuran sulung pada 2023.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani, berkata program berkenaan bukan sahaja bertujuan menyemarakkan semangat kemerdekaan, malah menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga IPD Mersing.

“Selain menyemarakkan Bulan Kebangsaan, kita mahu warga kita mengamalkan gaya hidup sihat dan pada masa sama memperkenalkan destinasi pelancongan yang ada di Mersing menerusi aktiviti seperti ini.

Iklan

Warga IPD Mersing mengibar 69 Jalur Gemilang selepas berjaya menawan puncak Gunung Arong, Tanjung Resang. - Foto IPD Mersing

“Alhamdulillah, kita sangat teruja apabila program ini mendapat sambutan yang baik. Ini menunjukkan warga IPD Mersing begitu bersemangat untuk bersama-sama menyemarakkan sambutan kemerdekaan,” katanya ketika dihubungi.

Iklan

Seramai 113 peserta terdiri daripada 10 pegawai kanan polis, 74 pegawai rendah polis, enam pegawai awam, 15 anggota Perkep, empat renjer Jabatan Perhutanan dan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyertai pendakian itu pada Ahad lalu.

Setibanya di puncak Gunung Arong, peserta meletakkan Jalur Gemilang di Menara Puncak Gunung Arong sebelum mengibarkan 69 Jalur Gemilang sebagai simbolik 69 tahun kemerdekaan negara.

Jalur Gemilang turut disusun membentuk angka ‘69’ di Pantai Teluk Gorek, sekali gus mencipta kelainan dalam menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan.

Aktiviti itu turut memberi peluang kepada peserta menguji ketahanan fizikal dan mental, selain menikmati keindahan alam semula jadi Mersing.

Program berkenaan secara tidak langsung mengetengahkan Gunung Arong dan Pantai Teluk Gorek sebagai antara tarikan pelancongan yang wajar diterokai di daerah berkenaan.