Tiga pekerja ladang kelapa sawit cemas diserang gajah liar

Iklan
Gajah berkenaan didapati bertindak agresif mengejar pekerja ladang dan memijak motosikal sehingga rosak. Foto media sosial

CHUKAI - Tiga pekerja ladang kelapa sawit di Jabor, Cheneh, dekat sini berdepan detik cemas apabila diserang sekumpulan gajah liar di ladang berkenaan petang semalam.

Seorang pemandu jengkaut, Muhammad Haikal Farhan Mohamad Samsor, 24, berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 4.30 petang ketika dia melakukan kerja pembersihan parit menggunakan ekskavator sebelum dikejutkan dengan kemunculan sekumpulan gajah liar dari hutan berhampiran.

Iklan
Iklan

Katanya, dua pekerja ladang yang menyedari kehadiran kumpulan gajah berkenaan cuba menghalau haiwan itu setelah mendapati dua ekor daripadanya bertindak agresif dengan merosakkan motosikal jenis Honda EX-5 miliknya.

"Sekumpulan kira-kira enam ekor gajah liar berkeliaran 30 meter dari jentera yang saya kendalikan dan dua ekor daripada gajah berkenaan didapati bertindak agresif mengejar pekerja ladang dan memijak motosikal saya sehingga rosak," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Iklan

Muhammad Haikal Farhan berkata, mereka berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian itu dan kumpulan gajah berkenaan memasuki semula kawasan hutan tersebut kira-kira 30 minit kemudian.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dennis Ten Choon Yung berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kehadiran kawanan gajah di kawasan berkenaan daripada pekerja ladang pada jam 5.15 petang.

Iklan

Beliau berkata, susulan aduan itu, enam anggota Perhilitan Daerah Kemaman digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan, pemantauan dan kawalan.

"Pemantauan mendapati kawanan gajah liar berkenaan memasuki kawasan ladang kelapa sawit untuk mencari makanan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dennis berkata, anggota Perhilitan turut menjalankan operasi"tembak-halau” serta pemantauan fizikal dan menggunakan dron di sekitar kawasan aduan bagi mengesan pergerakan kawanan gajah berkenaan.

"Kawasan hutan berhampiran kejadian itu ialah Hutan Simpan Cerul," katanya. - Bernama